SHAH ALAM, 1 SEPT: Mayat seorang lelaki tanpa identiti ditemukan dalam parit di Kampung Baru Sungai Buloh pada 29 Ogos lalu, dipercayai menjadi mangsa bunuh.
Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata penemuan itu dimaklumkan orang awam sebelum Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) membantu mengeluarkan mayat dari lokasi kejadian.
Mayat kemudian dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk bedah siasat, lapor Berita Harian.
“Pemeriksaan awal mendapati tiada sebarang dokumen pengenalan diri ditemukan pada si mati.
“Si mati ialah lelaki berkulit cerah, botak, berketinggian kira-kira 170 sentimeter dan berat sekitar 50 kilogram,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, hasil bedah siasat menemukan unsur jenayah pada tubuh mangsa dan kes kini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian atau kehilangan ahli keluarga dengan ciri menyerupai mangsa supaya tampil membantu siasatan.
Maklumat boleh disalurkan kepada Pegawai Penyiasat ASP Mohd Reezal Mohammad @ Mohd Zain di talian 013-3479809 atau Ibu Pejabat Polis Daerah Sungai Buloh menerusi 03-61561222.
Mohd Hafiz turut mengingatkan orang ramai supaya tidak menyebarkan imej, video atau maklumat tidak sahih serta mengelakkan spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan polis.







