SHAH ALAM, 30 SEPT: Mayat pemancing terakhir yang hilang dalam insiden tujuh pemancing di perairan One Fathom Bank ditemukan di Kuala Kurau, Perak, petang semalam.
Mangsa, Raja Mohd Rozi Raja Mahamud, 49, ditemukan terapung kira-kira 4.5 batu nautika barat daya Muara Kuala Kurau pada jam 5.25 petang.
Pengarah Maritim Selangor, Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata, mangsa ditemukan nelayan tempatan dalam keadaan lengkap berpakaian.
“Bot Maritim BENTENG 03 digerakkan ke lokasi dan mayat dibawa ke Jeti Polis Marin Kuala Kurau kira-kira jam 7.30 malam.
“Mayat kemudian diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia untuk dibawa ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Taiping bagi proses pengecaman rasmi,” katanya.
Menurut beliau, isteri mangsa mengesahkan pakaian yang ditemukan pada mayat adalah pakaian terakhir dipakai Raja Mohd Rozi ketika kejadian.
Penemuan itu melengkapkan pencarian kesemua tujuh mangsa selepas operasi mencari dan menyelamat ditamatkan pada 19 September lalu.
Terdahulu, empat mangsa ditemukan selamat manakala dua lagi meninggal dunia.
Abdul Muhaimin turut mengingatkan orang ramai yang menjalankan aktiviti di laut supaya sentiasa memakai jaket keselamatan dan mengutamakan aspek keselamatan.









