KUALA LUMPUR, 18 NOV: Mayat lelaki tanpa identiti ditemukan tertiarap dan tidak berpakaian di tempat letak kereta stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Pandan Jaya di sini, pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Khairul Anuar Khalid berkata Pusat Kawalan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya menerima maklumat penemuan lelaki itu yang disangka tidak sedarkan diri daripada anggota Unit Kereta Peronda (MPV) pada 7.30 pagi.
Beliau berkata penolong pegawai perubatan Hospital Ampang kemudiannya mengesahkan lelaki itu telah meninggal dunia.
“Mayat dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Ampang untuk bedah siasat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Khairul Anuar menyeru orang ramai yang kehilangan ahli keluarga atau kenalan lelaki untuk tampil membantu polis.
Mereka yang mempunyai maklumat boleh menghubungi IPD Ampang Jaya menerusi talian 03-4289 7222 bagi membantu mengenal pasti identiti lelaki itu.






