Selangor kaji kerja mesra keluarga tangani kadar kesuburan rendah

1 Sep 2026, 3:00 AM
Selangor kaji kerja mesra keluarga tangani kadar kesuburan rendah

SHAH ALAM, 1 SEPT: Kerajaan Negeri memulakan kajian mengenai Amalan Pekerjaan Mesra Keluarga bagi memastikan faktor pekerjaan tidak menjadi penghalang kepada pasangan untuk membina keluarga, sekali gus membantu menangani kadar kesuburan rendah di Selangor.

EXCO Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Anfaal Saari berkata cabaran penuaan populasi bukan sahaja berpunca daripada peningkatan jangka hayat, malah dipengaruhi kadar kesuburan yang semakin rendah.

Menurutnya, kadar kesuburan jumlah (TFR) di Selangor ketika ini sekitar 1.5 hingga 1.6 anak bagi setiap wanita, jauh di bawah paras penggantian penduduk kira-kira 2.1 anak.

“Dalam jangka panjang, ini bermakna bukan sahaja populasi warga emas akan terus meningkat, malah pertumbuhan generasi muda yang akan memasuki usia bekerja juga semakin perlahan.

“Keadaan ini seterusnya memberi tekanan kepada nisbah tanggungan warga emas,” katanya dalam temu bual bertulis bersama Media Selangor berhubung langkah di bawah Rancangan Selangor Kedua (RS-2) bagi mendepani cabaran penuaan populasi.

EXCO Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat, Anfaal Saari ketika ditemu bual di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 17 Mac 2026. Foto HAFIZ OTHMAN/MEDIA SELANGOR

Anfaal berkata Kerajaan Negeri tidak berhasrat menentukan jumlah anak yang perlu dimiliki sesebuah keluarga, sebaliknya mahu mengurangkan halangan kepada pasangan yang ingin membina dan membesarkan keluarga.

Antara langkah yang digalakkan ialah penyediaan taska di tempat kerja, waktu kerja fleksibel, cuti penjagaan serta pelaksanaan amalan pekerjaan mesra keluarga.

“Di Selangor, Kerajaan Negeri telah memulakan kajian mengenai Amalan Pekerjaan Mesra Keluarga dan hasilnya akan dibentangkan kepada semua agensi di bawah Kerajaan Negeri.

“Ini langkah permulaan bagi memastikan pekerjaan atau tempat kerja tidak menjadi penghalang kepada pasangan untuk membina dan membesarkan anak,” katanya.

Automasi, AI kurangkan kebergantungan tenaga kerja

Dalam pada itu, Anfaal berkata peningkatan jumlah warga emas yang berlaku serentak dengan pertumbuhan penduduk usia bekerja yang semakin perlahan dijangka meningkatkan nisbah tanggungan warga emas.

Sehubungan itu, penggunaan automasi, teknologi dan kecerdasan buatan (AI) perlu diperluas bagi meningkatkan produktiviti, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja bagi fungsi yang boleh diautomasi.

EXCO Pembangunan Wanita Anfaal Saari menyerahkan cek cura kepada salah seorang penerima insentif MamaKerja pada majlis sambutan Hari Wanita peringkat Selangor di Padang Perbandaran MPAJ, Pandan Indah pada 10 Mac 2023. Foto NAS NORZIELA NASBAH/SELANGORKINI

“Pendekatan ini selaras dengan hala tuju RS-2 yang menjadikan AI dan teknologi sebagai pemacu penting dalam meningkatkan kecekapan.

“Negara yang lebih awal berdepan masyarakat menua seperti Jepun juga terus meningkatkan penggunaan teknologi dan automasi bagi menangani kekurangan tenaga kerja,” katanya.

Menurutnya, keutamaan Selangor adalah memastikan produktiviti dan pertumbuhan ekonomi dalam pelbagai sektor kekal kukuh meskipun struktur tenaga kerja berubah.

Langkah itu penting bagi membolehkan Kerajaan Negeri mengekalkan asas ekonomi dan fiskal yang kukuh untuk menyediakan perkhidmatan awam, penjagaan serta jaringan perlindungan sosial kepada populasi warga emas yang semakin bertambah.

“Kita perlu mengambil pendekatan menyeluruh dalam menangani penuaan populasi, termasuk membuat persediaan menghadapi peningkatan jumlah warga emas, membina ekosistem mesra keluarga bagi menangani kadar kesuburan rendah serta meningkatkan produktiviti menerusi teknologi dan automasi.

“Ini merupakan persediaan jangka panjang bagi memastikan Selangor kekal sebagai negeri yang sesuai didiami rakyat pada setiap peringkat kehidupan,” katanya.

Kategoriexco

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.