Legasi keluarga dari belakang rumah, kini tembusi pasaran seluruh negara

1 Sep 2026, 1:00 AM
Legasi keluarga dari belakang rumah, kini tembusi pasaran seluruh negara
Legasi keluarga dari belakang rumah, kini tembusi pasaran seluruh negara
Legasi keluarga dari belakang rumah, kini tembusi pasaran seluruh negara
Legasi keluarga dari belakang rumah, kini tembusi pasaran seluruh negara

Di sebalik kerangupan produk jenama SZ Kerepek, tersimpan kisah seorang wanita yang cekal meneruskan legasi perniagaan keluarga selepas pemergian bapanya.

Daripada perusahaan kecil di belakang rumah, usahanya berkembang menjadi sebuah kilang yang bukan sahaja menghasilkan puluhan produk makanan ringan, malah turut membuka peluang pekerjaan kepada komuniti setempat.

Perjalanan itu bermula pada 1999 apabila perusahaan keluarga di Kampung Sijangkang, Telok Panglima Garang, hanya beroperasi secara kecil-kecilan dengan kemudahan serba sederhana.

Selepas menamatkan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Syuhaidah Samsi, 43, mengambil keputusan memikul tanggungjawab meneruskan perusahaan yang ditinggalkan arwah bapanya demi memastikan sumber pendapatan keluarga tidak terhenti di tengah jalan.

"Saya bermula selepas SPM. Selepas arwah ayah saya pergi, saya ambil alih untuk uruskan perniagaan keluarga ini," kata Pengarah SZ Legacy Holding Sdn Bhd itu.

Tanggungjawab yang dipikul pada usia muda itu akhirnya menjadi titik tolak kepada perkembangan sebuah perusahaan yang hari ini dikenali sebagai antara pengeluar makanan ringan tempatan di Selangor.

Selain demi membantu keluarga, permintaan berterusan pelanggan tetap mendorong Syuhaidah meneruskan legasi perniagaan itu.

Ketika ramai melihat kejayaannya melalui pemilikan kilang atau jumlah jualan, tidak ramai tahu sebenarnya perusahaan ini bermula di belakang rumah dengan kapasiti pengeluaran yang amat kecil.

"Perniagaan saya bermula di rumah. Kita bermula dengan 50 kilogram pisang dan 50 kilogram ubi," katanya.

Pengalaman mengusahakan perniagaan dari ruang yang terhad selama bertahun-tahun menjadi asas penting sebelum syarikat berjaya membina kilang sendiri pada 2015 bagi memenuhi pertambahan permintaan pasaran.

Usaha kebun sendiri pastikan bekalan mencukupi

Pertumbuhan itu turut disokong langkah mengukuhkan bekalan bahan mentah melalui kerjasama mengusahakan kebun pisang dan ubi bersama rakan-rakan.

Usaha menguruskan kebun seluas kira-kira 10 hingga 15 ekar bukan sekadar memastikan bekalan sentiasa mencukupi, malah membantu mengawal kos pengeluaran serta mengekalkan kualiti produk.

Selain kos lebih rendah, strategi itu membolehkan syarikat terus berkembang tanpa terlalu bergantung kepada bekalan pihak luar sekali gus memberi lebih keyakinan terhadap mutu setiap produk yang dihasilkan.

Daripada hanya menghasilkan kerepek pisang dan kerepek ubi, perusahaan itu kini menawarkan sekitar 30 hingga 50 jenis produk yang memenuhi cita rasa pengguna pelbagai peringkat umur.

Produk tradisional terus menjadi identiti syarikat, namun dipelbagaikan dengan inovasi melalui pelbagai perisa bagi memenuhi cita rasa pengguna masa kini.

"Produk utama kami adalah pisang tanduk gula Melaka, pisang tanduk original. Yang terbaru adalah pisang tanduk 'salted egg' dengan 'cheese'," katanya.

Selain memasarkan jenama sendiri, syarikat itu turut memberi tumpuan kepada pengeluaran secara pengilang asal (OEM), sekali gus membolehkan produk keluarannya dipasarkan menggunakan jenama pelanggan di seluruh negara.

Hadapi pelbagai cabaran

Perjalanan membina perniagaan itu bagaimanapun tidak terlepas daripada pelbagai cabaran, terutama membabitkan modal pusingan, peluasan pasaran dan keperluan mendapatkan pensijilan.

"Cabarannya dari segi perniagaan ini adalah, pertama pasaran, kedua modal untuk rolling. Satu lagi, bila kita tak ada pensijilan ini, susah nak bergerak lebih jauh," katanya.

Kesungguhan mendapatkan pensijilan Halal dan MESTI pada 2019 akhirnya membuka lebih banyak peluang kepada syarikat untuk memperkukuhkan kedudukan dalam pasaran moden.

Perubahan itu turut membantu meningkatkan keyakinan pengguna dan meletakkan produk keluaran syarikat sebaris dengan jenama lain di pasaran.

Ketika banyak perusahaan berdepan kesukaran sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 2020 hingga 2021, permintaan terhadap produk keluaran SZ Legacy Holding Sdn Bhd pula meningkat dengan ketara.

"Pernah satu tahap itu, masa PKP memang melonjak naik sampai hampir cecah juta ringgit juga," katanya lagi.

Lonjakan permintaan itu menjadi antara pemangkin kepada perkembangan syarikat sehingga berjaya menembusi pasaran yang lebih luas.

Namun, di sebalik perkembangan perniagaan, Syuhaidah tetap berpegang kepada prinsip bahawa kejayaan perlu dikongsi bersama masyarakat tempatan yang lebih dekat di hatinya.

"Saya banyak upah orang Malaysia. Orang tempatan. Saya tak guna orang luar sebab di kawasan kita pun masih perlu bantuan," katanya.

Selain membuka peluang pekerjaan kepada penduduk sekitar, syarikat itu turut memasarkan produk keluaran usahawan kampung di premisnya, terutama ketika Ramadan apabila permintaan pengguna meningkat.

"Di kedai saya pun banyak ambil produk orang kampung untuk kita jual," katanya.

Hari ini, produk keluaran syarikat dipasarkan ke seluruh negara termasuk memasuki rangkaian ST Rosyam Mart, manakala usaha memperluaskan pasaran ke AEON sedang giat dijalankan sebagai langkah mengukuhkan lagi jenama tempatan.

Perjalanan yang bermula di belakang rumah itu membuktikan bahawa sesebuah legasi tidak berkembang hanya dengan keuntungan, tetapi melalui kesungguhan mempertahankan warisan keluarga sambil memastikan manfaatnya terus dirasai oleh komuniti yang menjadi sebahagian daripada perjalanan tersebut.

Kategorirencana

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.