JobCare Sepang tawar 3,925 peluang kerja pelbagai sektor

12 Sep 2026, 9:26 AM
JobCare Sepang tawar 3,925 peluang kerja pelbagai sektor
JobCare Sepang tawar 3,925 peluang kerja pelbagai sektor

SHAH ALAM, 12 SEPT: Sebanyak 3,925 jawatan kosong ditawarkan menerusi Karnival Kerjaya JobCare Selangor Lindung Kerjaya Daerah Sepang yang menghimpunkan 28 majikan daripada pelbagai sektor.

EXCO sumber manusia berkata sebanyak 2,786 kekosongan atau 71 peratus menawarkan gaji melebihi RM2,500, manakala 3,450 peluang pekerjaan atau 87.9 peratus melibatkan penempatan di Selangor.

Menurut V Papparaidu, peluang kerjaya ditawarkan merangkumi sektor penginapan serta perkhidmatan makanan dan minuman, perdagangan borong dan runcit, perkilangan, perkhidmatan serta pengangkutan.

"Kerajaan Selangor akan terus memperkukuh kerjasama bersama agensi pekerjaan dan pihak industri bagi memastikan lebih banyak peluang pekerjaan berkualiti dapat diwujudkan untuk rakyat.

"Matlamat kita jelas, bukan sekadar menyediakan pekerjaan, tetapi membantu rakyat memperoleh pekerjaan lebih baik, pendapatan lebih tinggi dan kehidupan lebih sejahtera," katanya di Facebook.

Sebelum itu, beliau meninjau dan merasmikan karnival berkenaan di KIPMALL, Kota Warisan, selain berinteraksi dengan majikan pencari kerja bagi melihat keperluan pasaran pekerjaan semasa.

Majikan yang turut serta antaranya ERL Maintenance Support Sdn Bhd, Putrajaya Marriott Hotel, Top Glove Corporation Berhad, Bata Primavera Sdn Bhd dan Nissin International Logistics (M) Sdn Bhd.

Selangor menganjurkan karnival berkenaan bagi memastikan pencari kerja mendapat akses terus kepada peluang bersesuaian, di samping membantu majikan mendapatkan tenaga kerja yang diperlukan.

Ogos lalu, Selangor mengadakan Karnival Kerjaya Mega Selangor yang menghimpunkan lebih 100 majikan dan menawarkan lebih 10,000 peluang pekerjaan untuk penduduk negeri itu.

Kategoriexco

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.