KLANG, 22 OKT: Kerajaan Negeri giat memperluas peluang pekerjaan kepada golongan orang kurang upaya (OKU) bagi mencapai sasaran satu peratus pengambilan pekerja OKU di Selangor berbanding kadar semasa 0.4 peratus.
EXCO Kebajikan Masyarakat Anfaal Saari berkata, usaha itu memberi tumpuan kepada anak syarikat Kerajaan Negeri sebelum diperluas kepada sektor swasta, dengan Yayasan Insan Istimewa Selangor (YANIS) sudah mencapai sasaran berkenaan.
"Satu peratus yang kita cuba sasarkan di peringkat negeri itu, kita dah mula dengan YANIS. YANIS dah mencapai satu peratus.
"Di peringkat Selangor dah 0.4 peratus. Jadi, kita nak capai satu peratus itu mesti kita mula dulu dengan anak-anak syarikat, tetapi yang lain akan menyusul termasuk syarikat swasta," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Anugerah Inklusif OKU Selangor 2026 di Hotel Wyndham Acmar, di sini, malam tadi.

Anfaal berkata, Kerajaan Negeri turut mengadakan perbincangan dengan syarikat swasta bagi menggalakkan lebih banyak majikan menawarkan pekerjaan kepada golongan berkenaan.
Menurutnya, tumpuan kini bukan sahaja untuk meningkatkan penyertaan majikan, malah membangunkan bakat dan kemahiran OKU supaya mereka mampu menjana pendapatan sendiri tanpa hanya bergantung kepada bantuan kebajikan.
"Sejak majikan dah mula, sekarang ini kita tengah ramaikan bakat pula. Nak keluarkan mereka yang mungkin sebelum ini menerima bantuan kepada mencari pekerjaan," ujarnya.
Katanya, penganjuran program kerjaya khas OKU baru-baru ini menjadi antara platform mempertemukan golongan berkenaan dengan majikan yang bersedia menawarkan pekerjaan.
Dalam masa sama, Kerajaan Negeri akan meneruskan latihan kesaksamaan ketidakupayaan atau Disability Equality Training (DET) bagi meningkatkan kefahaman majikan mengenai keperluan pekerja OKU.
"Sebahagian daripada advokasi kita nak teruskan DET. Sebab ada juga majikan sebenarnya tak faham yang dikatakan nak capai satu peratus itu, apa keperluan dan persiapan," katanya.

Jelasnya, latihan itu penting bagi memastikan majikan bukan sekadar menawarkan pekerjaan, tetapi turut menyediakan infrastruktur, kemudahan dan persekitaran kerja yang bersesuaian.
Beliau berkata, latihan berkenaan akan diteruskan dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) melalui Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI, selain berharap pelaksanaannya dapat diperluas tahun depan.
Sementara itu, Anfaal berkata, keperluan golongan OKU kini semakin melangkaui bantuan kebajikan, khususnya dalam mendapatkan akses saksama kepada kemudahan awam, bangunan, pendidikan dan perkhidmatan kesihatan.
"Kalau ikut awal itu memang kita fokus banyak kepada kebajikan, tapi sekarang ini mereka dah mula minta keperluan yang sama macam orang lain juga.
"Maknanya akses mereka kepada mana-mana tempat, bangunan, pendidikan, kesihatan, mereka dah mula minta akses yang seumpama itu," katanya.
Berdasarkan angka pendaftaran JKM yang dimaklumkan pada majlis itu, kira-kira 159,000 OKU berdaftar di Selangor.
Sehubungan itu, Anfaal berkata dasar pembangunan negeri perlu mengambil kira keperluan OKU sejak peringkat awal perancangan dan pembinaan bagi memastikan kemudahan yang disediakan lebih inklusif.

Beliau turut menggalakkan pihak berkuasa tempatan (PBT) memperkenalkan lebih banyak inisiatif mesra OKU, termasuk meningkatkan keterangkuman dalam kalangan kakitangan sendiri.
Terdahulu, 12 anugerah merangkumi empat kategori disampaikan pada Majlis Anugerah Inklusif OKU Selangor 2026 bertemakan 'Mengiktiraf Potensi, Memperkasa Inklusiviti'.
Anugerah berkenaan mengiktiraf sumbangan majikan, pekerja OKU, PBT dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dalam memperkukuh peluang pekerjaan serta mewujudkan persekitaran kerja lebih inklusif.
Kerajaan Negeri turut berharap penganjuran itu dapat dijadikan acara tahunan sebagai penanda aras amalan terbaik dalam pemerkasaan OKU di Selangor.
"Kita berharap penganjuran anugerah inklusiviti pekerjaan OKU Selangor ini dapat dijadikan acara pengiktirafan tahunan rasmi, sekali gus menjadi penanda aras amalan terbaik bagi agenda keterangkuman sosial dan pemerkasaan saksama di peringkat Selangor," katanya.










