SHAH ALAM, 3 OGOS: Kadar pengangguran di Selangor terus menunjukkan penurunan kepada sekitar 2.0 peratus manakala 50,226 peluang pekerjaan diwujudkan setakat Julai lalu.
EXCO Sumber Manusia V Papparaidu berkata kadar penyertaan tenaga buruh di negeri itu juga kekal tinggi sekitar 78.5 peratus, sekali gus mencerminkan pasaran pekerjaan yang aktif dan stabil.
Beliau berkata pencapaian tersebut didorong prestasi ekonomi negeri yang terus berkembang hasil kejayaan menarik pelaburan berkualiti tinggi ke Selangor.
“Selangor mencatat pelaburan diluluskan RM33.5 bilion pada suku pertama tahun ini, sekali lagi menjadi negeri penerima pelaburan tertinggi. Ini merangkumi sektor perkhidmatan, pembuatan dan ekonomi digital termasuk pusat data, teknologi tinggi dan perkhidmatan global.
“Fokus terhadap sektor teknologi tinggi, ekonomi digital, latihan kemahiran teknikal dan vokasional (TVET) dan pembangunan bakat tempatan dijangka terus mengukuhkan pertumbuhan ekonomi serta meningkatkan peluang pekerjaan pada tahun akan datang,” katanya di sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.

Menjawab soalan wakil rakyat Meru Mariam Abdul Rashid, Papparaidu berkata komitmen dan usaha negeri menarik pelaburan berkualiti tinggi dan memperkasa pembangunan bakat tempatan membolehkan Selangor kekal sebagai enjin pertumbuhan ekonomi negara.
“Kejayaan ini merupakan hasil daripada kepimpinan yang berwawasan serta dasar negeri selain usaha memperkukuh ekosistem pelaburan, perdagangan dan perindustrian negeri,” katanya.
Mengikut data Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) 8 Jun lalu, Selangor mencatat nilai pelaburan diluluskan tertinggi RM33.5 bilion, diikuti Johor (RM16.9 bilion), Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (RM16.9 bilion), Pulau Pinang (RM6.2 bilion) dan Sarawak (RM4.0 bilion).
Kejayaan berkenaan didorong penyepaduan infrastruktur matang kawasan Cyberjaya. Berikutan itu Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari yakin Selangor mampu mencapai sasaran RM60 bilion nilai pelaburan berdasarkan prestasi ekonomi semasa meski berdepan krisis global dalam enam bulan pertama tahun ini.











