Ada insan memilih untuk mengasingkan diri apabila berdepan ujian hidup. Bukan kerana mahu lari dari kenyataan, sebaliknya mencari ruang memulihkan jiwa yang sedang remuk.
Bagi sesetengah orang, ruang itu mungkin bilik sunyi atau perjalanan jauh. Namun Ong Siew Choo, 50, yang lebih dikenali sebagai Kazumi menemui ketenangan itu di tengah-tengah kehijauan hutan Bukit Dinding.
Segala-galanya bermula pada tahun 2013 apabila beliau menemui benjolan pada tubuh sebelum disahkan menghidap barah. Berita tersebut mengubah kehidupannya sekelip mata.
Saat bergelut untuk menerima hakikat, sebelum memulakan rawatan, Kazumi memilih menyendiri di Bukit Dinding, Wangsa Maju yang menjadi latar belakang rumahnya.
Kawasan tersebut belum ada laluan pendakian. Tiada papan tanda atau laluan denai yang jelas. Namun, beliau terus melangkah gontai mengikut naluri hingga menemui lokasi yang cukup mendamaikan.
“Masa itu belum ada apa-apa trek lagi. Saya masuk dalam, sampai atas, saya diam-diam duduk situ. Masa itu belum pergi buat rawatan. Saya tenangkan fikiran, dengar bunyi-bunyi burung, tengok tupai,” katanya.
Selepas menemui kekuatan, Kazumi menjalani pembedahan sebelum meneruskan rawatan kemoterapi dan radioterapi seperti saranan doktor. Namun ujian hidupnya belum berakhir.
Tujuh tahun kemudian, beberapa ketulan muncul pada tangannya. Kazumi bimbang barah kembali menyerang. Derita menjalani kemoterapi yang melemahkan fizikal dan emosi menjadikannya hampir berputus asa.
“Masa saya hidap barah kali kedua, saya memang rasa sedih, memang hampir putus asa. Macam sukar bernafas,” kata wanita itu lagi.
Beliau kembali lagi ke Bukit Dinding. Kali ini, bukan sekadar berjalan. Kazumi membawa sebilah parang. Menebas semak sedikit demi sedikit.

Tanpa pengalaman membina laluan hutan, Kazumi menebas belukar hingga menjadi denai mengikut gerak hati. Walaupun beberapa kali terjatuh dan sesat, beliau tetap meneruskan usaha itu.
Tanpa disedari, setiap laluan yang dibuka sebenarnya simbol perjuangannya keluar dari belenggu ketakutan. Namun, tidak lama kemudian, pemeriksaan lanjut mengesahkan ketumbuhan tersebut bukan barah.
“Bila doktor kata bukan barah, saya rasa Bukit Dinding ini memang bagi saya kesihatan,” katanya.
Sejak itu, anak jati Kuala Lumpur itu meneruskan kerja membuka dan menambah baik laluan hingga terbentuk rangkaian denai dengan pelbagai tahap kesukaran. Kini, laluan itu dikenali sebagai Kazumi Trail.
Nama tersebut diberi komuniti Friends of Bukit Dinding sebagai penghargaan kepada beliau yang membuka laluan berkenaan.
Siapa sangka, tempat yang asalnya mencari kekuatan, berkembang menjadi legasi yang memberi manfaat kepada ribuan pendaki. Denai yang dahulunya dibuka seorang diri kini antara laluan pendakian popular.
“Kalau masa itu saya tidak sakit, saya rasa tidak ada Kazumi Trail. Sebab masa saya sakit, saya tidak tahu nak buat apa,” katanya.
Kini, Kazumi giat memantau laluan yang dibinanya, memasang penanda arah, menutup laluan berbahaya serta membantu operasi mencari pendaki yang sesat apabila diperlukan.
Denai tersebut bukan sekadar trek pendakian, tetapi ruang untuk orang lain mencari ketenangan. Beliau juga berharap lebih ramai pesakit, khususnya penghidap barah tidak mudah berputus asa ketika berdepan ujian.
“Orang yang sakit, terutama pesakit barah, jangan putus asa. Datanglah ke sini, jalan perlahan-lahan, tengok burung, tengok tupai, tenangkan fikiran,” kata Kazumi.
Pengalaman itu mengajar wanita itu betapa proses penyembuhan bukan hanya bergantung kepada rawatan perubatan, malah memerlukan keteguhan mental.
“Bila mental kita sudah okay, kesihatan fizikal pun jadi lebih baik. Masa saya mula berjalan di Bukit Dinding dan buka jalan sedikit demi sedikit, fikiran saya pun mula okay,” katanya.









