Ramai melihat penjara sebagai penghujung kehidupan. Namun, sebaik pintu besi terbuka untuk menghirup kebebasan baru dan kembali ke dunia luar, saat itulah hukuman sebenar baru bermula.
Label bekas banduan terus melekat. Peluang pekerjaan jadi sempit. Tidak sedikit yang pulang hanya untuk melihat ahli keluarga sendiri enggan menerima, menolak kepulangan mereka.
Tanpa sokongan dan tempat bergantung, ramai bekas banduan kembali kepada corak kehidupan lama. Bukan tidak mahu berubah, tetapi tiada siapa yang benar-benar memberi peluang untuk memulakan semula.
Syed Barkath Amin Syed Mohd Tarmidzi yang pernah mendekam di balik palang besi selama lima tahun sangat memahami situasi tersebut. Perubahan bukan semata-mata memerlukan keinsafan.
Beliau menyedari peri pentingnya ada seseorang yang sanggup membuka pintu ketika semua pintu lain tertutup rapat. Beliau menubuhkan Kolar Merah, pusat pemulihan dan latihan keusahawanan bagi membantu bekas banduan untuk membina semula kehidupan.
Lebih sedekad lalu, kehidupan lelaki berusia 36 tahun itu jauh berbeza. Ketagihan dadah pada usia muda perlahan-lahan memusnahkan masa depannya.
Wang gaji yang awalnya untuk membeli bahan terlarang tidak lagi mencukupi. Itu mendorongnya melakukan jenayah hingga disabitkan kesalahan samun bersenjata secara berkumpulan pada 2008.
“Saya mula terjebak dalam dunia jenayah sebab dadah. Mula-mula beli guna duit gaji sendiri, lama-kelamaan duit habis, malas bekerja dan akhirnya timbul idea nak samun orang. Itulah kesilapan saya ketika awal usia 20-an,” katanya.
Mahkamah menjatuhkan Syed Barkath Amin hukuman penjara lima tahun. Tempoh itu menjadi titik perubahan yang mengubah cara beliau memandang kehidupan. Selepas dibebaskan pada akhir 2013, beliau tekad meninggalkan masa silam dan membina kehidupan baharu.
Namun, beliau pantas menyedari betapa cabaran sebenar bukan dalam penjara, sebaliknya selepas dibebaskan. Justeru, lelaki itu memilih untuk mengubah kisah silamnya menjadi sinar harapan buat orang lain.

Syed Barkath Amin mula berkongsi pengalaman hidup di TikTok. Kisah kehidupan di penjara mendapat perhatian ramai hingga ramai bekas banduan dan ahli keluarga mereka menghubunginya bertanya ke mana hala selepas dibebaskan.
Ramai antara mereka enggan pulang ke kampung kerana bimbang kembali terjerumus ke kancah lama. Ada juga yang beberapa kali diberi peluang oleh keluarga sehingga tidak lagi diterima.
Dari situ lahirnya Kolar Merah. Bukan sekadar pusat latihan keusahawanan, ia menjadi tempat persinggahan untuk mereka memulakan semula kehidupan.
Setiap peserta menjalani program pembangunan diri dan keusahawanan selama enam bulan. Mereka tinggal di asrama di Taman Tasik Prima, Puchong bagi menyesuaikan diri dengan rutin kehidupan baharu.
Syed Barkath Amin percaya perubahan sebenar tidak bermula dengan mengajar seseorang berniaga, tetapi membentuk semula cara mereka berfikir.
“Kita betulkan dulu cara fikir mereka. Hasrat kita bukan sekadar mengajar keusahawanan tetapi membina jati diri supaya daripada seorang yang ganas dan khayal menjadi individu yang bertanggungjawab kepada diri sendiri dan keluarga,” katanya.
Sejak ditubuhkan empat tahun lalu, Kolar Merah membantu antara 300 hingga 400 bekas banduan. Kira-kira 80 peratus daripada mereka mempunyai rekod penyalahgunaan dadah.
Kini, ada yang mengusahakan gerai burger, bekerja dengan syarikat swasta dan menjalankan perniagaan sendiri. Namun bagi beliau, ukuran kejayaan bukanlah bilangan peserta yang berjaya dalam perniagaan mahupun pekerjaan.
Sebaliknya, detik paling bermakna buat bekas banduan apabila seseorang yang pernah dipulaukan akhirnya diterima semula oleh keluarga.
“Apabila keluarga kembali menerima mereka, itulah kejayaan paling besar. Bila mereka rasa disayangi semula dan mampu menyara keluarga dengan hasil titik peluh sendiri, saya rasa segala usaha ini benar-benar berbaloi,” katanya.

Bagi Muhammad Imani Shahlim Mohd Said, 35, pula Kolar Merah banyak membantu membina jati diri semula hingga beliau diterima semula oleh keluarga akibat kesalahan lalu.
Berasal dari Pahang, lelaki yang pernah terjebak dengan kesalahan dadah itu menjelaskan kehadirannya setelah bertekad mahu berubah memiliki kehidupan baharu. Beliau bersyukur diberi peluang kedua dan berpeluang membantu keluarga dengan pendapatannya sendiri.
“Pengisian bengkel sangat bagus selain mental kena kuat untuk berdepan dengan orang. Diri sendiri yang penting dan keluarga juga cakap saya banyak berubah.
“Saya tidak balik ke kampung selama dua tahun untuk baiki diri tetapi mereka beri sokongan moral,” katanya yang juga ketua di pusat pemulihan itu.







