Pertanian hijau basmi kimia dari menakluk tubuh

1 Sep 2026, 11:00 AM
Pertanian hijau basmi kimia dari menakluk tubuh
Pertanian hijau basmi kimia dari menakluk tubuh
Pertanian hijau basmi kimia dari menakluk tubuh
Pertanian hijau basmi kimia dari menakluk tubuh

Umumnya, konsep pertanian hijau yang meminimumkan penggunaan bahan kimia dan anasir racun perosak, meski banyak diperkata sejak berdekad-dekad, masih jauh dari jangkauan sebenar.

Biarpun pelbagai program kesedaran dan inisiatif dijalankan sejak sekian lama tetapi skala pengeluarannya masih kecil, bahkan terpecah-pecah. Sekurang-kurangnya itu pandangan perunding pertanian, Alias Saad.

Beliau yang pernah berkhidmat di Seksyen Pertanian Jabatan Perdana Menteri mendapati saiz kebanyakan kebun yang mengamal pertanian hijau terlalu kecil, menyebabkan pengeluar sukar memenuhi permintaan pasaran secara konsisten.

Justeru, bekas naib presiden Kumpulan Guthrie dan Sime Darby itu menyifatkan situasi tersebut mengakibatkan konsep pertanian sedemikian hingga ke saat ini berdepan kesukaran dalam mencapai skala ekonomi.

Secara mudah, skala ekonomi bermaksud sesebuah syarikat atau kilang mengeluarkan barangan dalam kuantiti yang sangat besar, kos purata penghasilan setiap satu unit barangan menjadi semakin murah. Semakin tinggi pengeluaran, semakin cekap kos operasi.

Sebaliknya, kebergantungan kepada baja sintetik dan racun perosak masih ketara khususnya bagi pengeluaran sayur-sayuran daun dan sayur-sayuran berbuah. Semua ini berlaku ketika kempen pertanian hijau dicanang di sana-sini.

Meski kesuburan tanah merosot dan tanah semakin berasid akibat penggunaan bahan kimia secara berterusan, masalah itu pula dipandang sepi sebahagian golongan petani. Mereka dilihat lebih cenderung meningkatkan kadar input untuk mengekalkan hasil.

Sedangkan, petani sebenarnya berdepan risiko penguncupan margin keuntungan dalam jangka panjang. Ini terjadi apabila berlaku kitaran berikut: tanah semakin lemah → input meningkat → kos naik → margin keuntungan kian kecil.

Namun, petani bukan satu-satunya kelompok yang seakan-akan memandang enteng kepentingan pertanian hijau. Majoriti masyarakat pengguna juga belum bersedia membayar premium tinggi demi pengecilan input bahan kimia. Bukan tidak ada kesedaran. Kesedaran wujud tetapi hanya tertumpu kepada sebilangan kecil pengguna sahaja.

"Kesedaran yang ada belum cukup kuat untuk menghasilkan permintaan pasaran yang besar dan konsisten," kata Alias kepada Media Selangor.

Sebenarnya, pematuhan kepada konsep pertanian hijau berupaya mengurangkan kira-kira 30 peratus kos pengeluaran, lebih-lebih lagi apabila pengeluaran mencapai skala ekonomi.

Pengurangan kos itu pula bukan setakat pengurangan penggunaan baja dan racun tetapi meliputi aspek pengurusan tanah, air, tenaga kerja, input dan sisa yang lebih cekap.

"Ini selaras dengan prinsip Science to Nature (Dari Sains kepada Alam) yakni mengurangkan kebergantungan kepada input dengan meningkatkan kecekapan sistem semula jadi," katanya lagi.

Alias juga menganggap keadaan semakin memburuk ekoran persaingan sayur-sayuran import yang lebih murah yang disifatkannya memberi tekanan kepada harga ladang pertanian hijau.

"Apabila harga yang ditawarkan pemborong rendah, petani terpaksa menerima margin kecil meskipun kos pengeluaran mereka meningkat," katanya.

Semua itu berlaku berikutan permintaan dan struktur harga bagi kebanyakan produk pertanian hijau belum benar-benar cukup untuk membantu pengeluar tempatan mencapai skala ekonomi.

Pencetus Mini Taman Aromatik MTAJ Alias Saad ditemu bual dihadapan rumahnya di Bukit Jelutong, Shah Alam, pada 9 April 2026. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

Usaha kerajaan

Sebenarnya, pertanian hijau yang mirip pertanian organik telah berlangsung sejak tujuh dekad lalu. Sejak 1940-an, penentangan terhadap produk pertanian berasaskan kimia berlaku di seluruh dunia.

Menjelang 1970-an, minat itu kian bercambah lalu merebak ke banyak negara lain termasuk Malaysia. Lebih banyak kesedaran dan permintaan makanan selamat dan sihat kian meningkat.

Menurut laporan Institut Penyelidikan Pertanian Organik pada 2024, kira-kira 4.5 juta petani organik meliputi lebih 190 negara. India menjadi pengeluar organik terbesar iaitu sekitar 1.6 juta.

Di Malaysia, pengenalan Skim Organik Malaysia sejak 2003 antara usaha ke arah pertanian hijau.

Pensijilan itu penting kerana ia bukan sekadar mengelakkan racun perosak dan baja kimia, sebaliknya pemeriksaan ladang, ujian hasil serta penilaian amalan pengusaha.

Inisiatif tersebut membantu pengusaha menampung sebahagian kos pengeluaran, malah sebagai galakan supaya lebih banyak ladang mendapatkan serta mengekalkan pensijilan memastikan amalan pertanian tanpa bahan kimia terus dipatuhi.

Pendekatan itu menunjukkan ia bukan hanya soal mengurangkan penggunaan bahan sintetik, tetapi turut menuntut pengurusan tanah, tanaman dan persekitaran secara lebih menyeluruh. Namun, kenyataan Alias itu membuktikan perkara yang dihasratkan belum benar-benar menjadi.

Sedar atau tidak, tubuh manusia kian dicemari bahan kimia secara leluasa. Ironinya, ia bukan berlaku secara paksa atau tanpa disedari sebaliknya berlangsung dengan rela hati atau bawah sedar. Bukan manusia sahaja, tanah sebagai sebahagian alam turut dicemar kesuburannya.

Mungkin inilah yang dimaksudkan sebagai "penjajahan yang tidak terlihat" — ungkapan Gabenor Jawa Barat, Dedi Mulyadi sempena Ulang Tahun ke-81 Republik Indonesia di Bandung, baru-baru ini yang merujuk penggunaan bahan kimia dalam sektor pertanian.

Beliau memberi ibarat betapa bahan kimia sebagai suatu bentuk imperialisme yang berlarutan ke atas masyarakat sedangkan doktor sejati adalah masyarakat sendiri dengan menghindar bahan sedemikian.

"Penjajahan yang tidak terlihat adalah sistem kolonial, gaya baharu. Dengan cara apa? Dengan merosak fikiran kita, merosak pendengaran kita, merosak khayalan kita dalam sistem yang tidak terlihat. Orang seperti disenangkan tetapi (sebenarnya) dia dihancurkan."

Kategorirencana

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.