Demi anak, wanita cari jalan berlepas dari sepak terajang

1 Sep 2026, 9:00 AM
Demi anak, wanita cari jalan berlepas dari sepak terajang
Demi anak, wanita cari jalan berlepas dari sepak terajang

Tiada wanita mendirikan rumah tangga untuk tubuhnya berselirat lebam, ditemani air mata saban malam atau si anak kecil membesar dengan menyaksikan keganasan di depan mata.

Setiap perkahwinan pastinya bermula impian sama: membina sebuah keluarga bahagia. Namun, bagi sesetengah wanita, rumah yang sepatutnya tempat berlindung bertukar menjadi penjara.

Senyuman yang terukir saat akad nikah perlahan-lahan berganti bengis. Insan yang berteguh janji untuk melindungi sepanjang hayat rupa-rupanya berubah menjadi punca kelukaan.

Ramai memilih untuk terus bertahan. Ada berharap pasangan akan berubah, ada pula takut dipersalah masyarakat, tidak kurang yang bimbang mengenang nasib anak-anak jika memilih untuk pergi.

Mengimbau kisah hiba 15 tahun lalu, tekad Fitriyani Ismail (bukan nama sebenar) meninggalkan rumah tangga toksik menjadi keputusan terbaik yang pernah diambilnya.

Kini, wanita berusia 40 tahun itu bukan sahaja membina semula kehidupannya, malah kisahnya memberi kekuatan kepada wanita lain yang masih terperangkap dalam penderaan rumah tangga.

Selepas hampir dua tahun mengenali lelaki yang disangka teman seumur hidup, beliau tidak menyangka insan itu punya sisi yang tidak pernah terpapar sepanjang percintaan. Bermula perselisihan kecil, berakhir dengan tamparan.

“Dia menampar saya dengan kuat hingga telinga berdengung dan saya hampir pitam. Seumur hidup, ibu bapa saya sendiri tidak pernah mengangkat tangan terhadap saya,” katanya kepada Media Selangor.

Pemeriksaan di Hospital Kuala Lumpur keesokannya, mengesahkan 50 peratus gegendangnya pecah. Walaupun doktor menasihatinya supaya membuat laporan polis, beliau memilih untuk memaafkan, mengharapkan si suaminya berubah. Harapan itu bertahan untuk seketika.

Selepas kelahiran anak sulung, keganasan berulang. Situasi juga semakin buruk ekoran suaminya kehilangan pekerjaan. Segala beban kewangan dipikulnya seorang diri. Akibat gagal membayar sewa rumah, mereka terpaksa berpindah beberapa kali kerana dihalau tuan rumah.

Fitriyani terus berdepan suami yang kian agresif. Tumbukan, cekikan dan sepak terajang menjadi kelaziman setiap kali pertengkaran. Detik paling sukar dilupakan saat beliau diseret dari ruang tamu ke dapur di hadapan anak kecil.

“Dia tarik rambut saya dan seret saya di depan anak. Anak saya menangis ketakutan. Bila saya menangis menahan sakit, anak saya pula takut untuk mendekati saya. Sebagai ibu, hati saya benar-benar hancur,” katanya.

Walaupun pernah membuat aduan polis, Fitriyani masih memberi peluang demi peluang lantaran suaminya berjanji untuk berubah. Namun, semua itu hanya kata-kata. Kemuncak derita, beliau ditendang hingga cedera kaki kanan.

“Ketika itu saya sedar, kalau saya terus bertahan, saya bukan lagi seorang isteri, tetapi sekadar tempat dia melepaskan kemarahan.

“Memandang wajah anak, saya terfikir sampai bila anak saya harus menyaksikan penyeksaan demi penyeksaan. Saya tidak sanggup melihat anak membesar dalam rumah penuh keganasan,” katanya.

Ketika suaminya tidur, wanita itu mengambil keputusan nekad. Beliau angkat kaki sambil membawa anak berusia setahun lebih tanpa menoleh ke belakang. Destinasi pertama bukan rumah saudara-mara tetapi hospital bagi mendapatkan rawatan sebelum membuat aduan polis.

Hasil sokongan laporan perubatan, beliau mendapat perlindungan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Selangor sebelum Mahkamah Sesyen dan Majistret Putrajaya mengeluarkan perintah perlindungan interim (IPO). Sejak itu, beliau menyedari dirinya bukan berseorangan.

“Saya ingat saya perlu menghadapi semuanya seorang diri. Rupa-rupanyanya ramai yang membantu saya. Polis, pegawai JKM, mahkamah dan keluarga menjadi kekuatan untuk saya terus berdiri,” katanya.

Perjuangannya diteruskan di mahkamah syariah bagi menuntut fasakh. Meski proses itu berlarutan kerana bekas suaminya enggan bekerjasama, beliau akhirnya memperoleh kebebasan yang sekian lama diidami.

Malah, beliau sanggup melepaskan tuntutan mutaah dan harta sepencarian, syarat untuk perceraian. Bagi Fitriyani, tiada nilai lebih besar dari kehidupan bebas, jauh dari keganasan.

Setahun selepas perceraian, wanita itu membeli rumah sendiri dan membesarkan anak dalam suasana damai. Buat pertama kali selepas bertahun-tahun, beliau menikmati sesuatu yang selama ini dirampas rasa selamat.

Beliau juga berharap lebih ramai wanita berani mendapatkan bantuan jika menjadi mangsa keganasan dan tidak terus hidup dihimpit ketakutan.

“Bukan salah kita jika tersalah memilih pasangan. Jangan salahkan diri sendiri. Hidup ini terlalu berharga untuk dihabiskan dengan penderitaan. Bangkitlah, kerana kita juga berhak hidup dengan bahagia dan dihormati,” katanya.

Grafik Azwa Abdul Malek

Kategorirencana

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.