GOMBAK, 30 OGOS: Pakatan Harapan (HARAPAN) masih mempunyai ruang untuk membincangkan kemungkinan kerjasama dengan Barisan Nasional (BN) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, kata Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari.
Pengarah Pilihan Raya HARAPAN itu berkata masih ada masa untuk melihat perkembangan politik sebelum sebarang keputusan dibuat berhubung kerjasama berkenaan.
“Masih ada masa. Kita tunggu keadaan. Saya bukan in position untuk buat keputusan. Jadi, saya diminta untuk berbincang.
“Jadi, saya sebutlah, okeylah, mari kita bincang. Kalau ada, tak ada orang nak bincang, nak buat macam mana? Kita teruskanlah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Mesra Rakyat Parlimen Gombak di Dewan Mutiara, Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Pusu, di sini hari ini.

Amirudin berkata setiap parti mempunyai pendekatan masing-masing dalam usaha mendapatkan sokongan rakyat, justeru perkembangan politik semasa perlu dinilai secara strategik.
Menurutnya, landskap politik ketika ini semakin mencair dan perubahan hubungan antara parti menunjukkan kemungkinan kerjasama politik tidak boleh dilihat secara statik.
“Dulu BN dan PAS bergaduh, kafir-mengkafir. Sekarang bergabung. Jadi, politik ini mencair dan kita kena tengok secara strategik,” katanya.
Sebelum ini, Pengerusi HARAPAN pada 25 Ogos dilaporkan memberi mandat kepada Amirudin selaku Pengarah Pilihan Raya HARAPAN untuk memperincikan bentuk kerjasama antara HARAPAN dan BN bagi menghadapi PRN Melaka.
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata perincian itu termasuk soal agihan kerusi, selepas ditanya mengenai pertemuannya dengan Amirudin yang turut dikaitkan dengan persiapan menghadapi PRN Melaka.







