SUNGAI BURONG, 29 OGOS: Seramai 24 individu menerima sumbangan Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau Yayasan MBI bernilai hampir RM20,000 bagi membantu mereka yang berdepan musibah dan keperluan kebajikan.
Ketua Yayasan MBI Ahmad Azri Zainal Nor berkata bantuan itu membabitkan 17 mangsa banjir yang masing-masing menerima RM500, lima individu menerima kerusi roda, selain seorang mangsa letupan gas menerima sumbangan ehsan RM5,000 dan seorang nelayan menerima RM3,000 bagi kelengkapan.
“Ini bukan kali pertama Yayasan MBI menyalurkan sumbangan kepada warga Sungai Burong. Dalam tempoh dua hingga tiga tahun ini, kita agak kerap membantu penduduk yang ditimpa bencana seperti banjir, ribut dan kebakaran di sini.
“Turut menerima sumbangan ialah lima individu di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Burong dalam bentuk kerusi roda,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui Media Selangor selepas Majlis Serahan Sumbangan di Pukal Padi, Kampung Parit Empat, Sungai Burong di sini hari ini.
Hadir sama Ahli Dewan Negeri (ADN) Sekinchan Dato’ Ng Suee Lim yang juga EXCO Kerajaan Tempatan dan Pelancongan.
Ahmad Azri berkata Yayasan MBI sentiasa cakna terhadap keperluan rakyat di seluruh Selangor yang berdepan musibah dan akan berusaha membantu berdasarkan permintaan serta keperluan.
Sementara itu, Penyelaras DUN Sungai Burong Maruwan Ahmad merakamkan penghargaan kepada Yayasan MBI atas keprihatinan terhadap nasib penduduk di kawasan berkenaan.
Beliau berkata Yayasan MBI sebelum ini sudah tiga kali menyalurkan bantuan kepada penduduk Sungai Burong susulan kejadian banjir dan puting beliung.
“Kami amat menghargai keprihatinan Yayasan MBI dan berharap sumbangan seperti ini dapat diteruskan bagi membantu rakyat yang ditimpa musibah,” katanya.









