Modul PTRS percuma, jangan terpedaya dengan jualan online

23 Apr 2026, 10:00 AM
Modul PTRS percuma, jangan terpedaya dengan jualan online
Modul PTRS percuma, jangan terpedaya dengan jualan online

SHAH ALAM, 23 APRIL: Modul Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS) diberikan secara percuma dan tidak sepatutnya dijual di mana-mana platform.

Ketua Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI, Ahmad Azri Zainal Nor menegaskan tindakan segelintir pihak menjual modul berkenaan adalah tidak beretika.

"Kita sudah berulang kali memaklumkan kepada platform e-dagang seperti Shopee, namun apabila satu kedai ditutup, muncul pula kedai lain di platform berbeza.

"Saya mohon mana-mana individu yang memerlukan modul ini supaya memuat turun terus melalui laman web ptrs.my. Tidak perlu membelinya.

"Modul ini bukan sahaja terhad untuk rakyat Selangor, malah boleh diakses secara percuma oleh seluruh Malaysia. Ini selaras dengan hasrat Kerajaan Negeri untuk berkongsi dan memperluaskan manfaat produk Selangor," katanya kepada Media Selangor.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyerahan Modul Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS) dan Program Didik Kasih (PDK) 2026 bagi daerah Petaling Perdana di Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Sunway, di sini hari ini.

Dalam perkembangan lain, beliau memaklumkan tuisyen PTRS secara bersemuka khusus untuk calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) berprestasi sederhana dan lemah akan berlangsung selama tiga bulan bermula Mei ini.

Menurutnya, pelajar yang menghadiri kelas akan disediakan makan tengah hari, manakala penyelaras sekolah serta guru yang terlibat turut menerima insentif.

Selain itu, portal ePTRS disediakan sebagai platform pembelajaran digital bagi menyokong proses pembelajaran lebih efisien.

Portal tersebut menawarkan akses kepada bahan seperti e-buku, video pengajaran dan pembelajaran (PdP), serta video pecutan akhir melalui laman sesawang rasmi www.eptrs.my.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.