Calon ponteng SPM berkurang, program MBI terbukti berkesan

1 Apr 2026, 5:00 AM
Calon ponteng SPM berkurang, program MBI terbukti berkesan

SHAH ALAM, 1 APR: Sokongan Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) (MBI) kepada pejabat pendidikan daerah (PPD) tahun lalu memberi kesan positif apabila lebih ramai calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 hadir menduduki peperiksaan.

Ketua Yayasan MBI Ahmad Azri Zainal Nor berkata melalui program tersebut, pihaknya berjaya menggalakkan pelajar yang sebelum ini mempunyai rekod kehadiran rendah untuk kembali ke sekolah, termasuk dengan menyantuni keluarga serta menyalurkan bantuan bakul makanan.

“Pada 2024, jumlah pelajar tak hadir duduki peperiksaan agak tinggi, sekitar 1,200 orang. Namun berbanding tahun ini, hanya 904 sahaja tak hadir. Ini membuktikan, program menyantuni pelajar bersama PPD berkesan.

“Dari data sekolah, PPD pergi rumah ke rumah santuni pelajar dan keluarga. Hasil pujukan, galakan daripada PPD di samping bantuan dan sokongan Yayasan MBI, kita berjaya kurangkan jumlah calon tak hadir ambil SPM,” katanya kepada Media Selangor.

Beliau berkata inisiatif berkenaan juga sebagai usaha memastikan pelajar kembali hadir ke sekolah dan menjalani sesi pembelajaran demi masa hadapan yang lebih terjamin.

Terdahulu, Ahmad Azri memaklumkan Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS) dijalankan Kerajaan Negeri sejak beberapa tahun lalu meningkatkan pencapaian SPM 2025, dengan Gred Purata Negeri (GPN) bertambah baik kepada 4.52.

Menurutnya peningkatan itu menunjukkan keberkesanan kelas tambahan percuma yang disediakan kepada pelajar tingkatan lima sepanjang tahun lalu.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.