HARAPAN sedia runding kerjasama dengan BN, tapi jangan letak syarat - Amirudin

29 Ogos 2026, 8:54 AM
HARAPAN sedia runding kerjasama dengan BN, tapi jangan letak syarat - Amirudin

AMPANG, 29 OGOS: Mana-mana parti politik yang mahu bekerjasama perlu iklhas dan tidak meletakkan syarat pembahagian kerusi sebelum berunding, kata Datuk Seri Amirudin Shari.

Pengarah Pilihan Raya Pakatan Harapan (HARAPAN) menegaskan rundingan akan terjejas jika mana-mana parti terus menuntut kerusi tanpa memikirkan pengorbanan rakan kongsi lain.

“Kita ikhlas berbincang ketika PRN dan harap ada keikhlasan ketika kita berbincang di tempat lain. Jadi ingatlah, kita di Johor, di Selangor, kita ikhlas turut memberikan kemenangan di kawasan-kawasan yang telah dimenangi.

“Jangan sebelum berbincang, telah meletakkan syarat. Bertanding (beri kerusi) di tempat kalah sahaja, susah lah. Di Selangor, kita beri kawasan yang kita menang kepada BN.

“Jadi keikhlasan itu kena tengok, cermin diri sendiri juga. Kita terbuka untuk berbincang dan saya menyokong tetapi  masing-masing kena ikhlas,” katanya kepada media selepas merasmikan Program Madani Kita bersama Komuniti Ampang Jaya.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bergambar bersama orang ramai ketika hadir dalam program Madani kita (PMK) bersama komuniti Ampang Jaya di Dewan MPAJ Dato’ Ahmad Razali, Ampang pada 29 Ogos 2026. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR

Dalam pada itu, Harapan juga bersedia  berunding dengan Barisan Nasional (BN) Melaka berhubung potensi kerjasama bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) berkenaan.

Ahli Parlimen Gombak itu berkata beliau sudah menghubungi Pengerusi BN Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, namun perlu menunggu keputusan dasar parti terbabit sebelum perbincangan lanjut diteruskan.

“Rundingan akan berlangsung bila Rauf bersedia. Saya sebenarnya sudah berhubung dengan beliau dan beliau maklumkan tengah tunggu beberapa keputusan dasar di peringkat UMNO dan BN pusat untuk meneruskan perbincangan dan sebagainya,” katanya.

Amirudin kini sedang menunggu maklum balas Pengerusi BN Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh bagi memulakan rundingan rasmi kerjasama HARAPAN dan BN menjelang PRN Melaka. Foto BERNAMA

Jelasnya rundingan dan kesepakatan akan menjadi sukar dicapai sekiranya mana-mana pihak meletakkan syarat lebih dahulu termasuk pembahagian kerusi.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada 25 Ogos lalu memberi mandate kepada Amirudin diberi mandat untuk mengemudi bentuk kerjasama antara gabungan itu dengan BN.

Pilihan raya negeri perlu diadakan susulan mandat kerajaan Melaka akan berakhir 31 Disember ini.

Untuk rekod, BN membentuk kerajaan negeri pada PRN Melaka ke-15 selepas menang 21 daripada 28 kerusi DUN, diikuti Harapan (5) dan PN (2).

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.