MB gesa pelajar berpijak pada realiti, jangan terikut FOMO

28 Ogos 2026, 6:00 AM
MB gesa pelajar berpijak pada realiti, jangan terikut FOMO
MB gesa pelajar berpijak pada realiti, jangan terikut FOMO
MB gesa pelajar berpijak pada realiti, jangan terikut FOMO

GOMBAK, 28 OGOS: Generasi muda khususnya pelajar perlu berpijak pada realiti dan tidak membiarkan pilihan hidup serta masa depan ditentukan fenomena takut ketinggalan (FOMO), trend atau kandungan media sosial.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata perkembangan media sosial yang pantas bukan sahaja mengubah cara masyarakat berkomunikasi, malah boleh mempengaruhi fokus, pemikiran dan pertimbangan ketika membuat keputusan.

"Bagaimana anda menjadi juara ataupun manusia yang boleh melawan FYP, melawan apa yang dipanggil sebagai trend dan tak tenggelam dalam FOMO.

"Orang lain buat ini, dia kena buat benda sama. Kalau tak buat, dia rasa tak betul. Kita tak fikir apa itu FOMO? Siapa yang menetapkan trend, siapa di sebalik trend dan apa kesan trend tersebut?" katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Kolej Tingkatan Enam Pra-Universiti Gombak dan Majlis Anugerah Kecemerlangan Akademik Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2025 di sini, hari ini.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (dua dari kanan) meletakkan tangan sebagai simbolik perasmian Kolej Tingkatan Enam Gombak bersama Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan) merangkap Pengarah UPEN, Dato’ Johary Anuar (dua dari kiri), Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI, Dato’ Ts Saipolyazan M Yusop (kiri) dan Pengarah Kolej Tingkatan Enam Gombak, Jagdave Singh (kanan) pada Majlis Perasmian Kolej Tingkatan Enam Gombak di Selayang, 28 Ogos 2026. Foto HARUN TAJUDIN / MEDIA SELANGOR

Menurut beliau, kesedaran berhubung perkara itu penting terutama bagi pelajar Tingkatan Enam yang bakal melangkah ke universiti dan semakin dituntut menentukan sendiri pilihan serta hala tuju kehidupan.

Amirudin turut mengingatkan bahawa kebergantungan terhadap kandungan digital yang pantas boleh menjejaskan keupayaan seseorang memberi tumpuan dan menilai sesuatu perkara secara mendalam.

"Sebab sekarang dalam media sosial, kebenaran itu kadang-kadang adalah yang paling banyak, yang paling bising dan yang paling berulang-ulang.

"Kadang-kadang fakta yang betul akan ditenggelami dengan perkara yang paling banyak, paling besar dan paling berulang-ulang," ujarnya.

Beliau berkata, keadaan itu boleh mendorong seseorang menerima sesuatu perkara berdasarkan populariti atau pengulangan di media sosial tanpa menilai kesahihan fakta terlebih dahulu.

Persembahan istimewa oleh pelajar seni sekolah sempena Majlis Perasmian Kolej Tingkatan Enam Gombak di Selayang pada 28 Ogos 2026.Foto HARUN TAJUDIN / MEDIA SELANGOR

Justeru, generasi muda perlu memberi perhatian kepada realiti, memahami masalah sebenar dan mencari penyelesaian sebelum menentukan arah kehidupan sendiri.

"Kembali kepada realiti, kita akan dapat menentukan hala tuju kita, bukan orang lain tentukan berdasarkan trend, berdasarkan FYP, berdasarkan FOMO ataupun ketakutan kita tidak ikut trend.

"Bayangkan nanti nak pilih kerjaya, nak pilih rakan, nak pilih apa-apa. Banyak perkara dalam hidup kita, kita kena buat pilihan," tambahnya.

Amirudin berkata kematangan membuat keputusan semakin penting apabila seseorang meningkat dewasa kerana kebergantungan kepada ibu bapa dan guru akan berkurangan, khususnya selepas memasuki universiti.

"Semakin dewasa anda, anda sewajarnya mampu membuat keputusan sendiri dan kematangan itulah yang akan diuji ataupun menentukan," katanya.

Terdahulu, seramai 39 pelajar diraikan pada majlis berkenaan atas pencapaian cemerlang dalam peperiksaan STPM 2025.

Pada majlis sama, Amirudin turut melancarkan Himpunan Pra-Universiti Selangor (HIPSTER) sebagai platform sokongan kepada pelajar Tingkatan Enam dalam membuat persediaan sebelum melangkah ke universiti.

Inisiatif itu merupakan antara usaha Kerajaan Negeri memperkukuh pendidikan prauniversiti di Selangor, selain menyediakan sokongan seperti baucar buku, kemudahan data dan program persediaan ke pendidikan tinggi.

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.