MB: Infrastruktur digital, AI perkukuh Selangor sebagai hab ekonomi digital

26 Ogos 2026, 2:00 PM
MB: Infrastruktur digital, AI perkukuh Selangor sebagai hab ekonomi digital
MB: Infrastruktur digital, AI perkukuh Selangor sebagai hab ekonomi digital
MB: Infrastruktur digital, AI perkukuh Selangor sebagai hab ekonomi digital

SHAH ALAM, 26 OGOS: Infrastruktur digital yang kukuh, bakat berkemahiran tinggi serta keupayaan kecerdasan buatan (AI) penting dalam memperkukuh kedudukan Selangor sebagai hab ekonomi digital dan teknologi.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata elemen berkenaan juga menjadi asas untuk memastikan Selangor kekal kompetitif dan mampu menarik lebih banyak pelaburan bernilai tinggi pada masa hadapan.

“Bagi Selangor, perkembangan ini amat signifikan dalam usaha kita memperkukuh kedudukan negeri sebagai hab ekonomi digital dan teknologi.

“Infrastruktur digital yang kukuh, bakat berkemahiran tinggi serta keupayaan AI akan menjadi antara asas penting untuk kita kekal kompetitif dan menarik lebih banyak pelaburan bernilai tinggi pada masa hadapan,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Sambutan TM80: Merentasi Generasi sempena ulang tahun ke-80 Telekom Malaysia Berhad (TM) di Multimedia University (MMU), Cyberjaya yang disempurnakan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bersama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Sambutan TM80: Merentasi Generasi di Universiti Multimedia (MMU), Cyberjaya pada 26 Ogos 2026. Foto Facebook Amirudin Shari

Amirudin berkata evolusi TM sepanjang 80 tahun mencerminkan perubahan landskap komunikasi negara, daripada era pos dan telegraf kepada teknologi gentian optik, pengkomputeran awan serta kecerdasan buatan.

“Lapan dasawarsa perjalanan TM merupakan sebahagian daripada perjalanan pembangunan negara, daripada perkhidmatan pos dan telegraf, sambungan telekomunikasi yang membawa laungan ‘Merdeka’ ke seluruh negara, sehinggalah kepada era gentian optik, pengkomputeran awan dan kecerdasan buatan (AI) hari ini,” katanya.

Menurut beliau, TM turut berperanan memperluas ketersambungan dan membangunkan bakat tempatan melalui MMU serta pelbagai program pendidikan.

Katanya, usaha itu merangkumi bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), selain latihan dalam AI, pengkomputeran awan serta keselamatan siber.

Sementara itu, Amirudin turut mengucapkan tahniah kepada seluruh warga TM atas pencapaian 80 tahun dalam menghubungkan rakyat, memperkasa komuniti dan menghubungkan Malaysia dengan dunia.

“Semoga TM terus menerajui Malaysia digital yang progresif ke arah masa depan yang lebih inklusif,” katanya.

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.