Festival Turath Islami 2026 diperluas ke peringkat nasional

27 Ogos 2026, 6:21 AM
Festival Turath Islami 2026 diperluas ke peringkat nasional
Festival Turath Islami 2026 diperluas ke peringkat nasional
Festival Turath Islami 2026 diperluas ke peringkat nasional

PUTRAJAYA, 27 OGOS: Festival Turath Islami Malaysia (FTIM) 2026 buat julung kalinya diperluas ke peringkat nasional selepas tiga edisi dianjurkan di Selangor, dengan menghimpunkan ulama tempatan dan antarabangsa sepanjang lapan hari penganjuran.

Bermula 13 September ini, festival bertemakan ‘Hikmah Warisan Islam’ itu menampilkan 42 sesi pengajian dengan penglibatan tokoh ulama tersohor antarabangsa serta 23 ulama tempatan di beberapa lokasi sekitar Putrajaya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan berkata pihaknya mengalu-alukan kerjasama Kerajaan Selangor dan kerajaan Persekutuan dalam menjayakan festival berkenaan.

“Usaha membudayakan ilmu menerusi bimbingan ulama berwibawa penting dalam mendidik jiwa serta meningkatkan kefahaman agama dalam kalangan masyarakat.

Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari diiringi Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan ketika hadir sidang media Festival Turath di Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Putrajaya pada 27 Ogos 2026. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR    

“Kita menjangkakan ribuan pengunjung akan hadir sepanjang tempoh seminggu penganjuran festival ini. Kita doakan FTIM 2026 berjalan lancar sekali gus mencetuskan gelombang kebangkitan keilmuan dalam kalangan masyarakat di Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media FTIM 2026 di Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) di sini, hari ini.

Sementara itu, Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata festival berkenaan menyediakan pelbagai sesi pengajian dan program ilmiah dengan penglibatan tokoh ulama tersohor antarabangsa.

“Antara pengisian utama ialah karya Al-Hikam al-Ata’iyyah oleh tokoh besar tasawuf Islam, Ibnu Atha-illah As-Sakandari selain kuliah subuh, bacaan Dalail al-Khairat dan Talaqqi Kitab Al-Hikam selama lima hari serta pelbagai program ilmiah lain,” katanya.

Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari ketika sidang media Festival Turath di Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Putrajaya pada 27 Ogos 2026. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR

Amirudin berkata kerjasama Kerajaan Negeri dan kerajaan Persekutuan itu turut mencerminkan usaha menyeimbangkan pembangunan ekonomi dengan pengukuhan tradisi pengajian agama menerusi kaedah talaqqi.

Menurutnya, pendekatan berkenaan penting supaya pembangunan tidak hanya tertumpu kepada aspek material, malah turut membentuk masyarakat berilmu dan mempunyai nilai kerohanian.

FTIM 2026 akan berlangsung selama lapan hari bermula 13 September di beberapa lokasi sekitar Putrajaya, dengan sebahagian besar acara diadakan di Masjid Putra.

Festival itu kini memasuki edisi keempat selepas tiga edisi terdahulu berlangsung di Selangor.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.