PRN Melaka: HARAPAN teliti kerjasama dengan BN

27 Ogos 2026, 4:59 AM
PRN Melaka: HARAPAN teliti kerjasama dengan BN
PRN Melaka: HARAPAN teliti kerjasama dengan BN

PUTRAJAYA, 27 OGOS: Pakatan Harapan (HARAPAN) akan meneliti kemungkinan kerjasama dengan Barisan Nasional (BN) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka akan datang.

Pengarah Pilihan Raya HARAPAN, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata perkara itu masih di peringkat awal dan semua kemungkinan akan diteroka sebelum sebarang keputusan dibuat.

“Masih terlalu awal, namun kita akan eksplorasi perkara ini sebelum memutuskan sebarang bentuk kerjasama.

“Sesi perbincangan akan berlangsung nanti dan hasilnya akan dibawa kepada HARAPAN serta Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) untuk dimuktamadkan sekiranya terdapat kesepakatan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas sidang media Festival Turath Islami Malaysia 2026 di Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) di sini, hari ini.

Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari diiringi Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan ketika hadir sidang media Festival Turath di Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Putrajaya pada 27 Ogos 2026. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR    

Menurut Amirudin, perkembangan mengenai bentuk kerjasama itu dijangka diketahui sebelum sambutan Hari Malaysia pada 16 September sebagai persediaan menghadapi PRN berkenaan.

Katanya, perbincangan turut mengambil kira pengalaman kerjasama HARAPAN dan BN pada PRN sebelum ini bagi mencari formula terbaik untuk semua pihak.

“Kita sudah bekerjasama dengan BN sejak PRN sebelum ini dan akan kumpulkan pengalaman yang ada untuk memberikan manfaat.

“Pada masa sama, setiap parti mempunyai pendirian masing-masing yang perlu dihormati dan kita akan mencari solusi terbaik untuk semua,” ujar beliau.

Semalam, Pengarah Komunikasi HARAPAN, Datuk Fahmi Fadzil dilaporkan berkata gabungan itu mempunyai jadual dan garis masa tersendiri bagi membincangkan persiapan menghadapi PRN Melaka.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai rundingan pembahagian kerusi antara HARAPAN dan BN termasuk jumlah kerusi yang mungkin ditandingi setiap parti.

Pada 25 Ogos, Pengerusi HARAPAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan Amirudin diberi mandat untuk memperincikan kemungkinan kerjasama dengan BN termasuk agihan kerusi bagi menghadapi PRN berkenaan.

Beliau berkata kerjasama merupakan perkara penting bukan sahaja dalam kehidupan malah dalam pentadbiran bagi memastikan semua pihak mencapai kesepakatan dan memberi manfaat kepada rakyat.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.