PETALING JAYA, 27 OGOS: Liga Usahawan OKU Selangor Edisi Ketujuh (SAY LEAD) membantu peserta meningkatkan keyakinan diri, kemahiran pemasaran dan keupayaan mengurus perniagaan.
Peserta, Nurul Natrah Aziz @ Awang daripada Gembur Education berkata program itu mendorongnya lebih berani mempromosikan produk dan menghasilkan kandungan media sosial.
Gembur Education memberi tumpuan kepada sokongan komuniti neurodivergen menerusi pendekatan seni dan kreatif.

“Keyakinan itu datang daripada dalam. Kita kena bina keyakinan diri untuk berimpian lebih besar dan pada masa sama berani meminta pertolongan.
“Sebelum ini saya kurang berani untuk mencuba, namun dorongan keluarga dan rakan-rakan banyak memberi kekuatan untuk terus melangkah ke hadapan,” katanya.
Natrah berkata penyertaannya turut membantu meningkatkan jualan sehingga dua kali ganda, selain menambah kemahiran pemasaran dalam talian.
Sementara itu, pengasas Nyaman Juices, Mohd Kamal Surin Abdullah berkata pengalaman kehilangan kakaknya akibat kanser mendorongnya menghasilkan jus 100 peratus asli.

“Bermula apabila arwah kakak saya menghidap kanser dan meninggal dunia dua tahun lalu, dari situlah tercetus idea untuk membuka perniagaan jus 100 peratus asli tanpa campuran seperti produk yang terdapat di pasar raya,” katanya.
Naib johan pertandingan itu berkata ilmu pengurusan perniagaan, promosi media sosial dan kewangan menjadi antara manfaat utama diperoleh sepanjang program.
Pengasas Loomsydoo, Fatnin Qistina Firdus pula berkata cabaran utama dalam mengembangkan perniagaan animasi, ilustrasi dan produk seni miliknya ialah pemasaran serta pengurusan masa.
Menurutnya, produk yang dihasilkan turut mengambil kira keperluan kanak-kanak autisme dan ADHD.

Katanya, SAY LEAD membantunya memahami aspek penting perniagaan termasuk pengiraan margin keuntungan.
Penyertaan ketiga-tiga usahawan itu menunjukkan SAY LEAD bukan sekadar pertandingan, sebaliknya platform memperkukuh kemahiran dan daya saing usahawan OKU.






