Usahawan raih RM9,000 sebulan guna PosPlats, mudahkan transaksi digital peniaga OKU

24 Dis 2025, 2:07 AM
Usahawan raih RM9,000 sebulan guna PosPlats, mudahkan transaksi digital peniaga OKU
Usahawan raih RM9,000 sebulan guna PosPlats, mudahkan transaksi digital peniaga OKU
Usahawan raih RM9,000 sebulan guna PosPlats, mudahkan transaksi digital peniaga OKU
Usahawan raih RM9,000 sebulan guna PosPlats, mudahkan transaksi digital peniaga OKU

SHAH ALAM, 24 DIS: Penggunaan peranti Point of Sales Platform Selangor (PosPlats) menerusi Program U-Plats Digital dilihat semakin membantu usahawan mikro memudahkan urusan perniagaan secara digital, khususnya dalam pengurusan transaksi jualan, pengeluaran resit serta penyimpanan rekod kewangan yang lebih sistematik dan telus.

Usahawan yang mengusahakan produk rendang ayam, rendang daging dan pelbagai jenis sambal, Nor Azura Othman, 44, berkata, penggunaan sistem digital melalui peranti PosPlats membantu memperkemas operasi perniagaan harian serta meningkatkan keyakinan pelanggan terhadap jenamanya.

"Peningkatan kecekapan pengurusan, digabungkan dengan penyertaan dalam Program Liga Usahawan Orang Kurang Upaya Selangor Youth Community (SAY LEAD) telah menyumbang kepada pertumbuhan pendapatan perniagaan secara konsisten dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini.

Usahawan Nor Azura Othman, 44, ditemui ketika sesi serahan sistem Posplats di Bangunan Darul Ehsan, Shah Alam pada 23 Disember 2025. Foto HARUN TAJUDIN/MEDIA SELANGOR

"Sebelum menyertai SAY LEAD pendapatan sebulan hanya sekitar RM300, namun setelah berada dalam 10 teratas dalam program itu saya raih RM4,000 dan sekarang, semakin meningkat dalam RM9,000 sebulan.

"Terima kasih U-Plats, Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI serta SAY kerana memilih saya dan sudi memberi sumbangan serta sokongan. Saya sangat hargai," kata pemilik Gemilang Upaya Entreprise ini ketika ditemui selepas majlis penyerahan PosPlats di Bangunan Darul Ehsan, di sini semalam.

Sementara itu, pemilik Sabrina Crepe Nur Sabrina Md Salleh, 30, berkata, peranti PosPlats memudahkan pengurusan jualan dan rekod kewangan, selain menjimatkan masa berbanding kaedah manual sebelum ini.

"Sebelum ini, urusan resit dilakukan secara manual menggunakan tulisan tangan, namun kini semuanya beralih kepada sistem digital yang jauh lebih mudah dan efisien," ujarnya.

Usahawan Nur Sabrina Md Salleh, 30, ditemui ketika sesi serahan sistem Posplats di Bangunan Darul Ehsan, Shah Alam pada 23 Disember 2025. Foto HARUN TAJUDIN/MEDIA SELANGOR

Menurut usahawan ketidakupayaan pendengaran dan bisu itu, peralihan kepada sistem digital melalui penggunaan peranti PosPlats bukan sahaja meningkatkan ketepatan rekod transaksi, malah mengukuhkan imej profesional perniagaan sekali gus menyokong kelangsungan dan daya saing usahawan mikro dalam ekonomi digital.

"Alhamdulillah, saya bersyukur dan gembira menerima kemudahan ini. Saya ingin merakamkan penghargaan kepada MBI atas sokongan yang diberikan kepada kami," katanya.

Tahun lalu, MBI memperkenal Program Latihan Pembangunan Usahawan Plats (U-Plats) bagi membantu usahawan menguruskan perniagaan secara digital dengan penglibatan 12 pihak berkuasa tempatan (PBT).

Antara modul bimbingan termasuk berkaitan pengenalan kepada keusahawanan, media sosial dan e-dagang serta penciptaan kandungan digital.