SAY LEAD bantu usahawan OKU tingkat jualan dan luas pasaran

27 Ogos 2026, 2:00 AM
SAY LEAD bantu usahawan OKU tingkat jualan dan luas pasaran
SAY LEAD bantu usahawan OKU tingkat jualan dan luas pasaran

PETALING JAYA, 27 OGOS: Program SAY LEAD (Liga Usahawan OKU Selangor) Edisi Ketujuh membantu usahawan orang kurang upaya (OKU) di Selangor mengembangkan perniagaan menerusi latihan, bimbingan dan pendedahan pasaran.

Ketua Pegawai Eksekutif Selangor Youth Community (SAY), Aiman Nazri berkata program selama kira-kira dua hingga tiga bulan itu memberi tumpuan kepada pengurusan perniagaan, pemasaran digital, media sosial, penjenamaan, kebolehpasaran dan penerokaan peluang baharu.

Menurutnya, peserta dilihat sebagai usahawan yang berpotensi mencipta nilai dalam ekonomi, bukan sekadar penerima manfaat.

“Antara tumpuan utama program adalah melihat perubahan prestasi jualan peserta sebelum dan selepas mengikuti SAY LEAD.

“Secara purata, peserta mencatat peningkatan jualan sekitar 20 peratus, selain perkembangan dari segi jaringan pelanggan,” katanya.

Aiman berkata terdapat peserta yang sebelum ini hanya menjalankan perniagaan dari rumah tetapi berjaya meluaskan jaringan pelanggan serta memperkenalkan produk dan perkhidmatan ke pasaran lebih besar selepas menyertai program itu.

Katanya, penyertaan tidak menetapkan had umur, namun keutamaan diberikan kepada penduduk Selangor yang memiliki kad OKU berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) serta menjalankan perniagaan sekurang-kurangnya enam bulan.

Seramai 20 peserta menyertai program itu dengan 10 usahawan OKU terbaik dipilih untuk membentangkan perniagaan masing-masing di hadapan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj dan panel juri.

Panel turut melibatkan EXCO Belia, Sukan dan Keusahawanan, Yayasan Menteri Besar (Pemerbadanan) atau MBI, Yayasan Hijrah Selangor serta pengasas Pops Malaya, Doluvo Sdn Bhd.

Daripada 10 peserta berkenaan, lima usahawan menerima dana RM10,000 setiap seorang untuk mengembangkan perniagaan.

Aiman berkata manfaat program tidak terhad kepada penerima dana kerana semua peserta turut memperoleh ilmu, pengalaman dan jaringan sepanjang SAY LEAD.

Sejak Edisi Pertama hingga Ketujuh, SAY LEAD merekodkan penyertaan 135 usahawan OKU dengan penglibatan 22 rakan kerjasama serta 420 jam latihan secara kumulatif.

“Harapan saya kepada setiap peserta yang menyertai SAY LEAD tidak berhenti setakat tamatnya program atau keputusan pertandingan, sebaliknya terus berusaha, mengembangkan perniagaan yang telah dibina dan mengorak langkah ke tahap yang lebih tinggi,” katanya.

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.