Di sebuah dapur kecil, hanya ditemani desiran pengadun dan harum mentega, lahir sebuah kisah luar biasa.
Nur Sabrina Md Salleh mungkin tidak mendengar hiruk-pikuk dunia, namun setiap kek adunannya menjadi ‘suara hati’ yang berbicara.
Wanita berusia 30 tahun ini dilahirkan dengan ketidakupayaan pendengaran dan bisu. Namun, kekurangan itu tidak pernah menahan langkahnya.
Berasal dari Johor Bahru dan kini menetap di Sungai Buloh, Nur Sabrina membina kehidupan bersama suami yang juga bisu serta tiga orang anak.
Dari rumah sederhana mereka, muncul perniagaan yang semakin mekar dikenali sebagai Sabrina Dessert House.
Perjalanannya tidak mudah. Lima tahun pertama dihabiskan menonton video YouTube untuk belajar membuat kek.

Adunan kerap tidak menjadi, rasa tidak menepati cita rasa. Namun, minat yang mendalam menangkis setiap kegagalan.
“Saya memang minat buat kek dari dulu lagi, suka tengok orang gembira apabila makan pencuci mulut,” katanya sambil mengimbas detik awal perjuangan penuh liku.
Dengan modal hanya RM500, dia mula menjual kek kepada jiran dan rakan melalui media sosial.
Kini, dapur kecilnya melahirkan lebih 15 jenis kek dan pencuci mulut. Kek batik, kek mangga keju, kek tiramisu, pavlova, kek pistachio dan brownies menjadi kegemaran ramai.
Setiap adunan disiapkan sendiri, penuh ketelitian dan kasih sayang.
Bagi Nur Sabrina, rasa manisan yang sempurna adalah bahasa jiwanya. Keunikan Sabrina Dessert House terserlah melalui pilihan bahan yang lebih sihat.
“Saya menawarkan pilihan kek yang lebih sihat sebab saya menggunakan gula stevia dan gula perang yang memang saya dapatkan dari pembekal tetap,” jelasnya.
Semua pesanan dibuat segar setiap hari, dan pelanggan diminta membuat tempahan awal bagi mengekalkan kualiti.

Harga pula bermula serendah RM8 untuk mini pavlova atau kek potong, hingga RM250 untuk kek tempahan khas seperti perkahwinan dan sambutan istimewa.
Jualan melonjak
Titik perubahan besar hadir apabila Nur Sabrina menyertai Liga Usahawan Orang Kurang Upaya Selangor Youth Community (SAY LEAD).
“Dulu saya bermula tanpa sebarang pengetahuan dalam perniagaan tetapi selepas sertai SAY LEAD kini saya faham cara bina kepercayaan pelanggan, strategi media sosial dan pengurusan kewangan asas,” katanya.
Dinobat juara SAY LEAD baru-baru ini, jualannya melonjak 60 peratus. Baginya, kejayaan itu bukti bahawa semangat dan usaha mampu menewaskan segala keterbatasan.
Impian Nur Sabrina kini melangkah lebih jauh. Dia sedang mengumpul modal untuk membuka kedai fizikal agar lebih ramai pelanggan dapat merasai sendiri keunikan keknya.
Walaupun persaingan dunia bakeri semakin sengit, keyakinannya tidak goyah.
“Saya menerima apa sahaja maklum balas daripada pelanggan sama ada positif atau negatif. Dari situ saya dapat mempelajari apa yang perlu diperbaiki pada masa akan datang,” ujarnya penuh syukur.