EXCO: SAY LEAD perkukuh pengurusan, daya saing usahawan OKU

27 Ogos 2026, 12:00 AM
EXCO: SAY LEAD perkukuh pengurusan, daya saing usahawan OKU

PETALING JAYA, 27 OGOS: Program Liga Usahawan Orang Kurang Upaya (OKU) Selangor Youth Community (SAY LEAD) membantu peserta memperkukuh asas pengurusan perniagaan supaya lebih bersedia bersaing dalam pasaran.

EXCO Keusahawanan Mohd Najwan Halimi berkata sebahagian peserta sebelum ini kurang memahami aspek penjenamaan dan pemasaran dan pengurusan kewangan, namun menunjukkan peningkatan selepas mengikuti latihan dan bimbingan menerusi program berkenaan.

“Bahkan, ada yang kurang mahir dalam aspek perakaunan, tidak dapat mengira keuntungan dan kerugian serta tidak dapat membezakan antara kos dengan hasil jualan.

"Tetapi sekarang, pengurusan perniagaan mereka lebih teratur,” katanya ketika ditemui pada pusingan akhir Liga Usahawan OKU Selangor di sini, semalam.

Menurut beliau, penilaian peserta bukan hanya berdasarkan produk yang dijual, sebaliknya turut mengambil kira komitmen, pandangan jurulatih dan penguasaan ilmu sepanjang program.

EXCO Keusahawanan Mohd Najwan Halimi menjadi panel juri bagi pusingan akhir Liga Usahawan OKU Selangor di Sunway Resort Hotel pada 26 Ogos 2026. Foto MARSYA ZULAIKHA/MEDIA SELANGOR

“Kita mahu melihat sejauh mana mereka memahami perniagaan sendiri, mempunyai objektif yang jelas serta mampu mengaplikasikan ilmu yang diberikan sepanjang program,” katanya.

Najwan berkata program berkenaan antara usaha Kerajaan Negeri untuk meningkatkan potensi usahawan OKU dan memberi ruang kepada mereka mengembangkan perniagaan.

Katanya, golongan itu mempunyai kreativiti dan potensi dalam pelbagai bidang termasuk makanan dan minuman (F&B), bidang kreatif serta perkhidmatan spa.

“Ini antara usaha Kerajaan Negeri meningkatkan potensi usahawan OKU dan memastikan mereka mempunyai ruang untuk berkembang serta bersaing dalam pasaran,” katanya.

Beliau turut menegaskan golongan OKU perlu terus diberi ruang untuk terlibat dalam masyarakat dan menjadi sebahagian daripada ekosistem yang saling menyokong serta memberi manfaat kepada orang lain.

Dalam pada itu, Najwan turut berharap peserta terus memanfaatkan ilmu dan peluang yang diperoleh menerusi program itu bagi mengembangkan perniagaan masing-masing.

“Pada masa sama, kelebihan dan ilmu yang mereka ada dapat dikongsikan kepada masyarakat supaya manfaatnya tidak terhenti dalam kalangan mereka sahaja,” katanya.

Kategoriexco

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.