SHAH ALAM, 19 MEI: Kegiatan vandalisme dan kecurian kabel telekomunikasi kekal menjadi ancaman serius terhadap infrastruktur digital Selangor yang boleh menjejaskan kelancaran komunikasi serta kehidupan harian rakyat.
Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata walaupun jumlah kes menunjukkan penurunan pada suku pertama tahun ini, masalah tersebut masih berterusan dan memerlukan tindakan lebih agresif.
Katanya, penurunan itu merupakan hasil beberapa langkah pengukuhan yang dilaksanakan oleh syarikat telekomunikasi (telco) dalam memperkukuh struktur infrastruktur digital negeri.

“Alhamdulillah, dalam tempoh setahun lalu kita mengalami jumlah kes yang agak tinggi dengan banyak insiden direkodkan.
“Namun bagi suku pertama tahun ini, kita dapat melihat laporan semakin berkurangan disebabkan beberapa langkah yang dibuat pihak telco untuk mengukuhkan struktur telekomunikasi,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas melancarkan Kempen Pencegahan Vandalisme Infrastruktur Telekomunikasi Peringkat Negeri Selangor 2026 di Kelab Shah Alam, di sini, hari ini.
Bagaimanapun, Amirudin berkata lebih 100 insiden kecurian kabel masih direkodkan dalam tempoh empat bulan pertama tahun ini, sekali gus menunjukkan keperluan tindakan lebih menyeluruh bagi membanteras kegiatan itu.
Katanya, usaha menangani isu berkenaan tidak boleh hanya bergantung kepada syarikat telekomunikasi dan pihak berkuasa semata-mata, sebaliknya perlu melibatkan penglibatan masyarakat secara menyeluruh.
“Sebelum ini, pihak telco dan pihak berkuasa sahaja memantau perkara ini, tetapi sekarang kita mahu orang awam turut memainkan peranan supaya kegiatan curi kabel atau vandalisme terhadap kemudahan digital dapat dikurangkan.
“Kemudahan digital ini penting untuk memastikan kehidupan dan urusan harian rakyat di negeri Selangor terus berjalan lancar,” tegas beliau.
Menurutnya, ketua kampung dan pemimpin masyarakat turut digerakkan bagi memastikan infrastruktur digital sentiasa berada dalam keadaan baik serta negeri kekal terhubung.
“Kita lakukan secara agresif, bukan hanya mengambil tindakan terhadap pihak yang bersalah atau melalui autoriti semata-mata, tetapi turut melibatkan penyertaan masyarakat,” katanya.
Sementara itu, Penasihat Kanan Operasi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Datuk Zurkarnain Mohd Yasin berkata Selangor kekal mencatatkan bilangan kes vandalisme infrastruktur telekomunikasi tertinggi di Malaysia dengan 1,836 kes pada 2024 dan 1,273 kes pada 2025.
Beliau berkata beberapa kawasan dikenal pasti sebagai lokasi berisiko tinggi termasuk Rawang, Gombak dan Bangi.
“Terdapat situasi di beberapa kawasan termasuk Sungai Tekali, Hulu Langat, di mana tempoh gangguan perkhidmatan menjadi lebih panjang akibat insiden vandalisme dan kecurian peralatan telekomunikasi yang melibatkan komponen kritikal seperti microwave transmission serta peralatan rangkaian tertentu,” ujarnya.
Tambahnya, sebahagian peralatan perlu ditempah dari luar negara, menyebabkan proses baik pulih mengambil masa lebih lama sebelum perkhidmatan dapat dipulihkan sepenuhnya.
“Situasi ini secara langsung menjejaskan kestabilan perkhidmatan telekomunikasi selain memberi kesan kepada pengguna dan komuniti setempat yang bergantung kepada kemudahan komunikasi setiap hari,” katanya.









