SHAH ALAM, 26 OGOS: Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) menyambut baik hala tuju Rancangan Selangor Kedua (RS-2) 2026–2030 yang dilihat mampu memperkukuh pembangunan Hulu Selangor sebagai hab pembuatan pengangkutan.
MPHS memaklumkan dasar dan polisi pembangunan yang digariskan menerusi pelan lima tahun itu sejajar dengan usaha daerah berkenaan memperkukuh sektor perindustrian, pembuatan serta rantaian bekalan berkaitan pengangkutan.
Menurut pihak berkuasa tempatan itu, hala tuju RS-2 juga selaras dengan aspirasi serta strategi pembangunan yang terkandung dalam Rancangan Tempatan Daerah Hulu Selangor 2035.
Keselarasan itu diyakini dapat memperkukuh kedudukan Hulu Selangor sebagai antara kawasan strategik negeri, khususnya dalam menyokong pertumbuhan sektor pembuatan dan ekosistem industri berkaitan.
Yang Dipertua MPHS, Julaihah Jamaludin sebelum ini menghadiri pelancaran RS-2 2026–2030 di Shah Alam yang disempurnakan Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari.
RS-2 diperkenalkan sebagai kerangka strategik utama Kerajaan Negeri bagi memandu perancangan serta pelaksanaan pembangunan Selangor untuk tempoh lima tahun akan datang.
Pelan berkenaan memberi penekanan kepada pertumbuhan ekonomi, kemampanan, peningkatan daya saing serta kesejahteraan rakyat dalam menentukan hala tuju pembangunan negeri sehingga 2030.







