SHAH ALAM, 25 OGOS: Seramai 10 pelajar dari Hulu Selangor mencipta kejayaan membanggakan apabila meraih tempat pertama bagi kategori Best Overall Future City dalam Petaling Jaya International Youth Leadership Camp (PJIYLC) 2026 yang berlangsung di Petaling Jaya, baru-baru ini.
Kejayaan itu diraih menerusi projek bertajuk “Urban Planning, Play & Leisure: Designing a City Through the Eyes of Children”, dengan model bandar masa hadapan yang dibangunkan berasaskan konsep “Green City”.
“Pencapaian ini amat membanggakan kerana para peserta bukan sahaja berpeluang mengetengahkan kreativiti dan idea mereka, malah menerjemahkan perspektif golongan muda mengenai bagaimana sebuah bandar masa hadapan seharusnya dirancang agar lebih hijau, mampan, inklusif dan mesra komuniti,” kata Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) menerusi Facebook.
Menurut MPHS, konsep berkenaan mengambil kira aspek penting dalam pembangunan bandar, antaranya kelestarian alam sekitar, perancangan bandar, penyediaan ruang rekreasi, kesejahteraan komuniti serta keperluan generasi masa hadapan.
PJIYLC 2026 yang berlangsung dari 22 hingga 28 Ogos itu dianjurkan bersama Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Malaysian Institute of Planners (MIP) Youth Wing dan UNICEF, selain melibatkan penyertaan peserta dari dalam dan luar negara.
Program berkenaan turut menghimpunkan delegasi daripada rangkaian Bandar Persahabatan Petaling Jaya, termasuk Asan dan Seongbuk-gu dari Korea Selatan, Miyoshi dari Jepun, Qingyuan dari China serta Kota Bandung, Indonesia.







