SHAH ALAM, 28 OGOS: Seramai 100 pelajar Malaysia dan luar negara menyertai Petaling Jaya International Youth Leadership Camp (PJIYLC) 2026 bagi memperkukuh kemahiran kepimpinan serta membina jaringan persahabatan merentas budaya.
Program anjuran Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) yang berlangsung selama tujuh hari dari 22 hingga hari ini melibatkan peserta berusia 11 hingga 17 tahun dari Malaysia, Indonesia, Korea Selatan, Jepun dan China.

Peserta mewakili enam Bandar Persahabatan (Friendship City) Petaling Jaya iaitu Bandung (Indonesia), Qingyuan (China), Miyoshi (Jepun), Asan dan Seongbuk-gu (Korea Selatan) serta Hulu Selangor (Malaysia).
Menurut MBPJ, program yang memasuki edisi ketujuh sejak diperkenalkan pada 2016 itu memberi ruang kepada peserta bertukar pandangan, idea dan pengalaman menerusi pelbagai aktiviti kepimpinan serta interaksi antara budaya.

Antara pengisian utama ialah Celebration of Cultures yang memberi peluang kepada peserta memperkenalkan warisan masing-masing menerusi persembahan tarian, muzik, pakaian tradisional dan kesenian.
Majlis Celebration of Cultures disempurnakan Datuk Bandar Petaling Jaya, Dato’ Mohd Yazid Sairi di Auditorium Dewan Sivik MBPJ pada 26 Ogos lalu.
Dalam ucapannya, Yazid berkata hubungan antara Bandar Persahabatan tidak seharusnya hanya terjalin dalam kalangan pemimpin, pegawai atau institusi, sebaliknya perlu dibina sejak peringkat generasi muda.

“Golongan muda juga perlu dihubungkan kerana persahabatan yang dibina hari ini merupakan asas kepada hubungan yang lebih kukuh antara bandar pada masa hadapan,” katanya.
Menurutnya, PJIYLC 2026 turut memperkukuh peranan Petaling Jaya sebagai bandar yang membuka ruang kepada generasi muda untuk menyuarakan pandangan, bertukar idea serta membina persahabatan merentasi sempadan dan budaya.
Komitmen itu selari dengan kedudukan MBPJ sebagai pihak berkuasa tempatan pertama di Asia Tenggara yang diiktiraf di bawah inisiatif Cities Friendly to Children (CFCI) oleh UNICEF.

Program berkenaan diharap dapat melahirkan generasi muda yang lebih berkeyakinan, terbuka dan berani menyuarakan pandangan, sekali gus menjadi pemangkin kepada pembentukan komuniti yang inklusif, harmoni dan saling menghormati.







