SHAH ALAM, 25 OGOS: Festival Sastera Kanak-Kanak Selangor 2026 yang julung kali dianjurkan Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) bakal membuka ruang baharu kepada kanak-kanak untuk mendekati sastera, cerita, kreativiti dan imaginasi.
Pengarah PPAS Datin Paduka Mastura Muhamad berkata festival itu yang akan berlangsung dari 28 hingga 31 Ogos ini di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) atau kini dikenali Selangor International Trade Centre (SITC) dan di Aneka Walk, SA Central, menawarkan pengalaman lebih luas berbanding konsep pesta buku.
Beliau berkata festival bertemakan “Meraikan Setiap Cerita Kanak-Kanak” itu menyediakan ruang kepada kanak-kanak untuk membaca, bermain, berimaginasi dan berkarya, selain membantu ibu bapa memahami perkembangan serta keperluan anak-anak dengan lebih baik.
“Festival ini turut menekankan aspek pendidikan awal, kemahiran motor kasar dan halus serta perkembangan sosial dan emosi, di samping usaha mengurangkan kebergantungan kanak-kanak terhadap gajet dan skrin,” katanya dalam satu kenyataan.
Mastura berkata festival itu turut mengangkat pendekatan inklusif dengan memastikan kanak-kanak berkeperluan khas dapat membaca, bermain, berkarya dan berinteraksi bersama keluarga serta masyarakat menerusi program seperti Inclusive Literature Forum dan Hands-On Sensory Play.
Beliau berkata pengunjung juga berpeluang menyaksikan Pameran Cerita Rakyat dan Legenda Melayu, yang antara lain mengetengahkan kisah Bawang Putih dan Bawang Merah, Si Tanggang Derhaka serta Sang Kancil dan Buaya, selain Pameran Buku Nostalgia yang mengimbau bahan bacaan dan ilustrasi generasi terdahulu.
“Lebih 100 pempamer daripada pelbagai latar belakang turut mengambil bahagian, manakala lebih 185 program seni, kreativiti, sastera, pendidikan dan aktiviti interaktif disediakan sepanjang empat hari festival yang bermula 9 pagi hingga 9 malam.
“Pengunjung juga berpeluang bertemu sasterawan negara, penulis, ilustrator dan personaliti yang dekat dengan dunia kanak-kanak dan remaja,” katanya.
Festival berkenaan turut menampilkan perkongsian tokoh tempatan serta penulis, ilustrator, pendidik dan penggiat industri buku dari China, India dan Singapura bagi membawa perspektif antarabangsa berkaitan buku, sastera kanak-kanak, pendidikan dan perkembangan anak-anak.
Di samping itu, pengunjung berpeluang memenangi wang tunai keseluruhan berjumlah RM40,000 sepanjang empat hari festival dengan 20 pemenang setiap hari akan menerima RM500 seorang.
-- BERNAMA







