SHAH ALAM, 25 OGOS: Semangat Maulidur Rasul wajar diterjemahkan melalui amalan kasih sayang dalam membina hubungan sesama komuniti demi mewujudkan kehidupan yang lebih harmoni dan saling menghormati.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menyeru masyarakat mencontohi akhlak Nabi Muhammad SAW yang sentiasa mengutamakan kasih sayang, penghargaan dan hubungan baik sesama manusia.
“Di hari yang mulia ini, kita disaran menyiram kasih sayang, penghargaan serta selawat kepada penghulu ummah, Rasulullah SAW yang telah meninggalkan kita dengan panduan hidup dunia dan akhirat.
“Baginda SAW pernah bersabda, orang-orang yang pengasih itu disayangi Yang Maha Pengasih, kasihilah mereka yang di bumi, (moga-moga) yang di langit mengasihimu (Hadis Riwayat Abu Daud).
“Secara asasnya, kehidupan yang dirahmati Allah SWT adalah kehidupan yang dibawa menerusi kasih sayang. Apabila sesuatu dilakukan atas niat kasih sayang, ianya adalah jujur dan ikhlas,” katan beliau menerusi Facebook.

Amirudin berkata, dengan mengikut cara pemikiran dan tingkah laku Nabi Muhammad SAW yang merupakan insan paling sempurna, nescaya hidup akan lebih harmoni dan mendamaikan.
“Berkasih sayang sesama umat manusia adalah syariat yang dituntut dalam Islam. Ia cara kita mengendalikan perhubungan sesama ummah, dalam komuniti, malah dengan sesiapa sahaja.
“Semoga semangat Maulidur Rasul tahun ini menginspirasikan iman kita, memperkukuhkan ukhuwah kita dan memberi kebijaksanaan agar kita dapat menjadi umat Islam yang lebih baik,” katanya.
Sebelum ini, Amirudin berkata sambutan Maulidur Rasul tidak seharusnya sekadar tertumpu kepada amalan berselawat, sebaliknya perlu menjadi ruang untuk memahami kehidupan dan meneladani keperibadian Nabi Muhammad SAW.
Menurutnya, kecintaan kepada Rasulullah SAW perlu diterjemahkan dengan mendalami cara kehidupan baginda termasuk dalam berkeluarga, berinteraksi dengan masyarakat serta menghadapi pelbagai cabaran.











