GOMBAK, 22 OGOS: Sambutan Maulidur Rasul tidak seharusnya sekadar tertumpu kepada amalan berselawat, sebaliknya perlu menjadi ruang untuk memahami kehidupan dan meneladani keperibadian Nabi Muhammad SAW.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata kecintaan kepada Rasulullah SAW perlu diterjemahkan dengan mendalami cara kehidupan baginda termasuk dalam berkeluarga, berinteraksi dengan masyarakat serta menghadapi pelbagai cabaran.
“Kecintaan kepada Rasulullah bukan hanya pengamalan dan ucapan selawat, tapi kita kena faham bagaimana Rasulullah berkeluarga, berinteraksi, bagaimana sudut keperibadian Rasulullah SAW, beberapa dilema yang dihadapi dan kita perlu mengingati,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Karnival Sambutan Maulidurrasul & Semarak Merdeka di Masjid Al-Khairiyah, Taman Sri Gombak di sini, hari ini.
Amirudin berkata sambutan memperingati kelahiran Rasulullah SAW juga membuka ruang kepada umat Islam untuk belajar dan memahami baginda kerana kecintaan itu merangkumi aspek ilmu serta kerohanian.
"Tidak salah untuk kita adakan sambutan ini walaupun ia tak pernah dibuat oleh Rasulullah sendiri secara individu, apatah lagi diraikan tetapi sebagai orang yang wajar kita sayangi, kita ingatkan, kita belajar dan kita faham kerana ada sudut ilmu dan ada sudut kerohonian yang dalam, dalam kecintaan kepada Rasulullah SAW," katanya.









