SELAYANG, 12 SEPT: Dato’ Menteri Besar menyeru umat Islam supaya memperbanyakkan zikir dan selawat ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW sebagai ikhtiar menenangkan jiwa ketika berdepan pelbagai cabaran.
Dato’ Seri Amirudin Shari berkata amalan itu tidak seharusnya dilakukan ketika majlis tertentu sahaja, sebaliknya wajar dijadikan rutin termasuk di rumah dan institusi.
“(Berselawat) Ia bukan acara tahunan. Sewajarnya jadikan amalan dan diteruskan. Banyakkan berselawat, ingat kepada Rasulullah SAW. Ini ikhtiar untuk hati dan jiwa kita kerana ia adalah asas.
“Ini akan menyelamatkan kita, mendidik masyarakat di saat kita berdepan pelbagai perkara dan kejadian perang, bencana alam. Ini mengelakkan kita gelisah, tidak tenang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri sambutan Maulidur Rasul 1448 Hijrah di Masjid Jamiatus Solahiah, dekat sini hari ini.
Majlis yang disertai kira-kira 500 penduduk sekitar itu turut menyaksikan Amirudin melaksanakan proses mencukur rambut bayi, selain sesi mentahnik yang disempurnakan Ustaz Che Nor Ismail.
Terdahulu, Amirudin meluangkan masa menziarahi aktivis masyarakat sekitar Parlimen Gombak yang berdepan masalah kesihatan, termasuk seorang daripadanya yang sedang menerima rawatan di Hospital Selayang.
Menerusi program Ziarah Medik itu, Amirudin bertanya khabar dan perkembangan kesihatan R Virijaya, 60-an, serta Rahmah Siteh, 65, selain menyerahkan sumbangan kewangan dan peralatan perubatan termasuk kerusi roda elektrik.

Sementara itu, anak Rahmah, Rohani Zan, 44, berkata kehadiran Amirudin memberi semangat kepada ibunya untuk terus berjuang melawan penyakit buah pinggang yang dihidapi sejak lima tahun lalu.
“Emak dah tak boleh berjalan seperti biasa lebih setahun lalu. Setiap minggu juga, emak perlu lakukan tiga kali proses dialisis.
“Jadi sumbangan kerusi roda ini akan memudahkan pergerakan emak. Terima kasih atas sumbangan ini,” katanya.
Sebelum itu, Amirudin turut meluangkan masa menyantuni masyarakat setempat menerusi program bersarapan bersama di Restoran Thaqwa selepas menunaikan solat Subuh berjemaah di Surau Ubudiah.










