SHAH ALAM, 23 OGOS: Penganjuran program kerohanian seperti Majlis 10,000 Wanita Selangor Berselawat wajar diperluas ke lebih banyak daerah bagi menyemarakkan penghayatan agama dalam kalangan masyarakat, khususnya generasi muda.
Pengunjung, Siti Hafizah Izzati, 28, berkata program berkenaan sarat dengan pengisian bermanfaat selain memberi peluang kepada wanita Selangor berkumpul, berselawat dan menghayati nilai agama.
“Program ini sangat baik dengan pengisian yang padat dan bermanfaat kepada pengunjung. Saya berharap program seperti ini dapat diperbanyakkan lagi di Selangor supaya lebih ramai dapat bersama-sama berselawat dan menghayati kecintaan kepada Rasulullah SAW.

“Penganjur juga boleh menampilkan pempengaruh yang bersesuaian untuk menarik minat golongan muda, sekali gus memperluas capaian program dan menggalakkan penyertaan mereka,” katanya kepada Media Selangor.
Sementara itu, Syafiqah Mohamad Dasuki, 40, berkata penyertaan bersama keluarganya dalam program berkenaan buat kali pertama memberi pengalaman menyeronokkan serta bermanfaat.
“Saya membawa seluruh keluarga untuk bersama-sama berselawat. Ini merupakan kali pertama saya menyertai program seperti ini dan ternyata sangat menyeronokkan serta memberi banyak manfaat, terutama dalam menghayati nilai keagamaan bersama keluarga.
“Tazkirah daripada Ustazah Nazirah Abu Bakar juga sangat menarik dan mencuit hati. Penyampaiannya santai, mudah difahami serta diselitkan dengan pengajaran yang dekat dengan kehidupan seharian, menjadikan sesi itu tidak membosankan,” tambahnya.

Majlis 10,000 Wanita Selangor Berselawat anjuran Wanita Berdaya Selangor (WBS) berlangsung di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah semalam dan turut diserikan dengan keberangkatan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Hajah Norashikin.
Bertemakan ‘Bersama Menghayati Kecintaan kepada Rasulullah SAW’, program itu mengetengahkan nilai kasih sayang, perpaduan dan akhlak mulia yang dibawa Rasulullah SAW, sekali gus menyemarakkan penghayatan Maulidur Rasul dalam kalangan masyarakat.









