Institusi kewangan Islam perkukuh daya tahan ekonomi rakyat, usahawan

24 Ogos 2026, 5:48 AM
Institusi kewangan Islam perkukuh daya tahan ekonomi rakyat, usahawan
Institusi kewangan Islam perkukuh daya tahan ekonomi rakyat, usahawan

KUALA SELANGOR, 24 OGOS: Institusi kewangan Islam bukan sekadar menyediakan perkhidmatan perbankan, malah berperanan memperkukuh daya tahan ekonomi rakyat serta menyokong perkembangan masyarakat dan usahawan tempatan.

EXCO Perumahan dan Kebudayaan Datuk Borhan Aman Shah berkata pembukaan cawangan Bank Muamalat Malaysia Berhad di Kuala Selangor mencerminkan keyakinan terhadap potensi pembangunan ekonomi daerah berkenaan.

Menurutnya, pembukaan cawangan itu turut memberi peluang kepada masyarakat serta usahawan tempatan mendapatkan akses lebih luas kepada perkhidmatan kewangan Islam.

“Daerah ini mempunyai kekuatan ekonomi tersendiri, bukan sahaja sebagai destinasi pelancongan malah dipacu sektor pertanian, perikanan, industri makanan, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta komuniti usahawan yang semakin berkembang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Bank Muamalat Malaysia Berhad Cawangan Kuala Selangor di sini, hari ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Bank Muamalat Malaysia Berhad Datuk Khairul Kamarudin berkata lebih 350 pelanggan dengan nilai transaksi melebihi RM11.9 juta direkodkan sejak cawangan berkenaan dibuka pada 26 Jun lalu.

Menurutnya, pembukaan cawangan itu merupakan sebahagian daripada komitmen Bank Muamalat untuk memperluas akses kepada perkhidmatan kewangan Islam yang lengkap kepada komuniti setempat.

“Kuala Selangor dipilih kerana mempunyai potensi ekonomi yang kukuh, khususnya dalam sektor pelancongan dan perikanan.

“Bank Muamalat juga bersedia menyumbang kepakaran, rangkaian serta penyelesaian kewangan bagi menyokong usaha Kerajaan Negeri memperkasa ekonomi Selangor,” katanya.

Dalam pada itu, Khairul berkata Bank Muamalat turut bekerjasama dengan Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah Selangor) bagi memperluas akses pembiayaan kepada lebih ramai usahawan.

Menurutnya, kerjasama itu dapat membantu usahawan mengembangkan perniagaan, sekali gus meningkatkan pendapatan dan memperkukuh daya tahan ekonomi mereka.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.