Alif Rakib juara dunia ONE Championship, bawa pulang bonus RM204,565

24 Jul 2026, 3:13 PM
Alif Rakib juara dunia ONE Championship, bawa pulang bonus RM204,565

KUALA LUMPUR, 24 JULAI: Petarung muay thai negara Ahmad Nor Iman Aliff Rakib atau lebih dikenali sebagai Alif Rakib mencipta sejarah tersendiri apabila muncul juara dunia interim Muay Thai Strawweight ONE Championship selepas menewaskan wakil Thailand Sam-A Gaiyanghadao, hari ini.

Pada aksi yang berlangsung di Stadium Lumpinee, Bangkok, atlet berusia 22 tahun itu menamatkan saingan ke atas bekas juara dunia dua kategori ONE Championship itu menerusi kemenangan knockout pada pusingan kelima.

Kejayaan itu sekaligus menyaksikan Alif Rakib melakar pencapaian terbesar dalam kariernya dan muncul antara petarung negara paling berjaya di pentas ONE Championship.

“Terima kasih kepada orang Malaysia yang datang sokong di Stadium Lumpinee. Aku dah janji nak bawa balik tali pinggang ini ke Malaysia,” katanya yang turut menghadiahkan kemenangan itu kepada bapanya.

Kemenangan itu turut membolehkan Alif Rakib membawa pulang bonus kemenangan berjumlah USD50,000 (kira-kira RM204,565) selain tali pinggang kejuaraan.

Dengan kemenangan itu, Alif Rakib akan menentang juara dunia strawweight Muay Thai, Prajanchai PK Saenchai dalam aksi penyatuan gelaran sebaik juara berkenaan kembali daripada kecederaan.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengajak seluruh rakyat Malaysia memberikan sokongan padu kepada Alif Rakib menjelang perlawanan itu.

Kategorisukankini

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.