
KLANG, 23 OGOS: Selepas dibayangi kecederaan patah jari tangan dan kemarau kemenangan, atlet muay thai Selangor, Muhammad Fadzmi Aiman Mohd Fadzli membuktikan bahawa ketabahan dan sikap tidak mudah mengalah dapat menghasilkan kejayaan.
"SUKMA tahun lalu, saya cedera, patah jari dan tak ada apa-apa pingat. Jadi, tahun ini saya fikir saya mampu bangkit dan meraih pingat emas.
"Ini emas pertama dan sumbangan pingat pertama saya, perasaan saya sangat gembira apabila penat lelah, tinggal dalam kem tiga bulan berjauhan daripada keluarga, dan latihan kami yang sangat keras. Alhamdulillah, semua usaha membuahkan hasil," katanya kepada Media Selangor.
Mengulas kemenangannya pada aksi final, Fadzmi berkata pembacaan strategi dan taktikal berkesan antara kunci kejayaannya menumpaskan lawan.
"Sebelum aksi final, saya telah menonton perlawanan lawan saya dan saya mendapati dia telah mendapat kecederaan pada kakinya. Jadi, saya menumpukan serangan ke situ dan alhamdulillah strategi itu menjadi," katanya lagi.
Sementara itu, atlet kacukan Jordan-Malaysia, Putra Abdullah Mahmoud bersyukur berjaya meraih emas dalam penampilan terakhirnya untuk SUKMA dan bertekad akan meneruskan perjuangan dalam sukan tersebut.
"Alhamdulilah, ini SUKMA terakhir dan saya berjaya dapat pingat emas, masih banyak lagi perjuangan yang perlu saya hadapi di masa hadapan dan saya akan berhenti di sini.
"Terima kasih kepada penyokong. Saya tak jangka seramai ini yang datang menyokong selama tiga hari berturut-turut. Terima kasih kepada rakyat Malaysia dan terima kasih kepada keluarga, isteri dan anak," katanya.
Skuad muay thai Selangor melakarkan kejayaan luar biasa selepas menggondol lima pingat emas dan satu gangsa pada aksi final acara berkenaan di KSL Esplanade Mall, petang tadi.







