SHAH ALAM, 14 OGOS: Muay Thai kini tidak lagi terhad kepada gelanggang pertandingan apabila seni mempertahankan diri itu turut diterapkan sebagai sebahagian daripada latihan kecergasan dan pembangunan fizikal serta mental.
Pengasas MuayFit Malaysia, Gan Jiunn Uei berkata pendekatan berkenaan menunjukkan Muay Thai mempunyai ruang lebih luas dalam pembangunan sukan, khususnya dalam membentuk ketahanan fizikal, disiplin dan keyakinan diri.

“Seni mempertahankan diri hari ini bukan lagi sekadar mengenai perlawanan, tetapi membina keyakinan diri, mengurangkan tekanan serta membentuk ketahanan fizikal dan mental,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Menurut Gan, pendekatan itu diterapkan menerusi latihan yang menggabungkan elemen kardio, kekuatan fizikal dan teknik seni mempertahankan diri.
Katanya, gabungan berkenaan membolehkan latihan Muay Thai diterokai bukan sahaja oleh atlet atau mereka yang mahu bertanding, malah individu yang menjadikannya sebagai aktiviti kecergasan.
MuayFit Malaysia yang ditubuhkan pada 2010 kini mempunyai empat cawangan di sekitar Lembah Klang selain menawarkan program latihan untuk individu, keluarga dan kumpulan korporat.
Selain dewasa, program khas kanak-kanak turut disediakan dengan penekanan terhadap pembentukan disiplin, koordinasi dan keyakinan diri.
Dalam perkembangan terbaharu, kelas MuayFit akan mula diadakan di Concorde Hotel Shah Alam pada 22 Ogos ini menerusi kerjasama antara hotel berkenaan dan MuayFit Malaysia.
Kelas berkenaan memberi peluang kepada masyarakat untuk mengikuti latihan berasaskan Muay Thai mengikut tahap kemampuan masing-masing.
Gan berkata perkembangan latihan Muay Thai dalam bentuk kecergasan turut membantu mengubah persepsi bahawa seni mempertahankan diri itu hanya berkaitan pertarungan di gelanggang.







