SHAH ALAM, 23 OGOS: Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) melaksanakan kerja mencantas dan menebang pokok berisiko tumbang di dua lokasi, hari ini, bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya.
Operasi Inter Agensi Skuad Pantas itu dijalankan bersama Jabatan Kerja Raya (JKR) Kuala Langat dan Jabatan Landskap MPKL di Jalan Sultan Alam Shah (Hj. Sidek) serta kawasan berhampiran Petronas.
Bagi menjamin keselamatan pengguna serta kelancaran kerja, JKR turut melaksanakan penutupan jalan dan kawalan lalu lintas sepanjang operasi dijalankan.
Menurut MPKL, di lokasi pertama, sebatang pokok kelapa sawit yang ditumbuhi pokok ara serta sebatang pokok kelapa yang condong dan berisiko tumbang telah ditebang.
"Tindakan sama diteruskan di lokasi kedua dengan menumbangkan sebatang pokok yang condong dan berpotensi membahayakan pengguna jalan raya ditumbangkan.
"Kerja-kerja merincih, mengalihkan dan membersihkan sisa pokok dilakukan menggunakan jentolak serta peralatan berkaitan bagi memastikan laluan kembali berada dalam keadaan selamat dan teratur," menurut MPKL di Facebook.
Operasi berlangsung dari jam 8 pagi hingga 1 tengah hari.
MPKL memaklumkan pemantauan terhadap pokok berisiko akan diteruskan bagi mengelakkan kejadian tidak diingini dan memastikan keselamatan warga Kuala Langat.









