SHAH ALAM, 23 OGOS: Lima Notis Kesalahan (NTK) dikeluarkan kepada pemilik premis dalam operasi penguatkuasaan Unit Task Force Utara, Jabatan Penguatkuasa Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) di Bandar 16 Sierra 13 Ogos lalu.
Dalam operasi sama, satu Memo Pemberitahuan Tindakan Sitaan turut diberikan kepada pemilik premis yang didapati tidak memperbaharui lesen perniagaan bagi 2026.
MPSepang memaklumkan operasi berkenaan dilaksanakan bagi memastikan pematuhan terhadap syarat pelesenan selain menjaga keselamatan serta ketenteraman kawasan perniagaan.
“Operasi ini dijalankan bagi tujuan pemeriksaan dan pemantauan terhadap lesen premis, halangan di kaki lima, halangan di lorong belakang serta papan iklan premis,” menurut kenyataan MPSepang di Facebook.
Antara kesalahan dikenal pasti ialah mempamerkan iklan tanpa lesen serta meletakkan barangan perniagaan di tempat awam.
Selain itu, tindakan turut diambil terhadap pemilik premis yang meletakkan halangan di lorong belakang sehingga boleh mengganggu laluan orang awam.
Premis yang menjalankan aktiviti perniagaan tanpa lesen juga dikenakan tindakan selaras peruntukan undang-undang kecil pelesenan ditetapkan MPSepang.
“Operasi itu dilaksanakan berdasarkan Peruntukan 7, Undang-Undang Kecil Iklan (MP Sepang) 2007; Seksyen 46(1)(d), Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974; Seksyen 69(3), Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1977 serta Peruntukan 3, Undang-Undang Kecil Perlesenan Tred Perniagaan dan Perindustrian (MP Sepang) 2007,” katanya.
MPSepang mengingatkan semua pemilik premis supaya memastikan lesen perniagaan dan papan iklan sentiasa sah selain tidak meletakkan barangan di kaki lima atau lorong belakang sehingga menghalang laluan awam.
“Penguatkuasaan secara berterusan akan dilaksanakan bagi memastikan kawasan perniagaan di bawah pentadbiran MPSepang kekal selamat dan teratur,” tegasnya.







