SHAH ALAM, 23 OGOS: Ekspo Penjagaan Antarabangsa Selangor (SICS) yang berlangsung Oktober ini sempena Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) akan menumpukan kepada pameran ekonomi penjagaan.
EXCO Pembangunan Wanita Anfaal Saari berkata konsep diketengahkan kali ini berbeza selepas edisi lalu telah membentuk ekosistem ekonomi penjagaan selaku gus turut menarik pelaburan dari dalam dan luar negara.
“Kita dah nampak potensi untuk industri ini. Kita berjaya memeterai beberapa sesi kerjasama persefahaman (MoU) sebagai kolaborasi strategik. Jadi kali ini kita fokus kepada ekspo.
“Kitar sediakan bilik pameran untuk pengunjung rasa dan fahami lebih lanjut mengenai perkhidmatan ekonomi penjagaan sedia ada. Kita juga bawakan alatan diguna untuk menjaga orang tua, kanak-kanak dan orang kelainan upaya,” katanya kepada Media Selangor.
Menerusi pendekatan berkenaan, Anfaal berkata sektor ekonomi penjagaan akan lebih difahami sekali gus pemerkasaan terhadap industri dapat dibuat secara inklusif dan memanfaatkan pelbagai pihak.
Tahun lalu, buat julung kalinya SICS menyertai sidang berprestij berkenaan, menonjolkan strategi ekonomi dua serampang dengan pelancaran Rangkaian Penjagaan Selangor (Selangor Care Network) menjadi acara terasnya.
Pada Julai, Ketua Pegawai Eksekutif Invest Selangor Berhad, Dato’ Hasan Azhari Idris memaklumkan SIBS edisi ke-10 ini bakal menampilkan tujuh segmen utama.
Selain SICS, ia turut melibatkan Ekspo Taman Perindustrian dan Pelaburan Selangor (SPARK), Persidangan Perniagaan ASEAN Selangor (SABC), Forum Pelaburan Selangor (SIF), Sidang Kemuncak TechSphere Selangor dan Sidang Kemuncak AI dan Semikonduktor.







