SHAH ALAM, 23 OGOS: Majlis 10,000 Wanita Selangor Berselawat menjadi wadah penyatuan rohani dan pengukuhan ukhuwah wanita di negeri ini, selain menyemarakkan usaha membina generasi berilmu serta berakhlak.
EXCO Pembangunan Wanita Anfaal Saari berkata program berkenaan selaras dengan aspirasi Kerajaan Negeri untuk melahirkan insan seimbang dari aspek emosi dan spiritual, di samping memperkukuh peranan wanita dalam pembentukan keluarga serta masyarakat.
“Selain memperkukuh nilai Islam, program ini turut mengangkat peranan penting wanita menerusi penghayatan nilai kasih sayang, tanggungjawab dan akhlak mulia dalam membentuk insan serta komuniti yang sejahtera.
“Pada masa sama, ia merapatkan hubungan strategik antara Wanita Berdaya Selangor (WBS), Kerajaan Negeri, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan agensi berkaitan dalam usaha memperkasa agenda pembangunan wanita,” katanya dalam kenyataan.
Menurutnya, Kerajaan Negeri komited menerajui agenda pemberdayaan wanita ke arah membina masyarakat inklusif dan berdaya tahan serta memperkukuh ekosistem penjagaan di Selangor.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif WBS, Siti Faridah Abdul Samad berkata majlis itu menjadi titik permulaan untuk jemaah bersama-sama berselawat, berdoa selain menyemai kecintaan kepada Rasulullah SAW.
“Marilah kita menyuburkan diri dengan nilai keimanan dan berazam menjadi hamba yang dekat dengan Allah SWT serta mencintai Rasulullah SAW di samping meneladani akhlak baginda dalam kehidupan seharian.
“Setiap selawat yang dilafazkan menjadi asbab turunnya rahmat Allah SWT kepada hambaNya serta menyemai rasa cinta kepada Rasulullah SAW dan mengukuhkan keimanan dalam kehidupan seharian,” ujar beliau.
Majlis anjuran WBS yang berlangsung di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah semalam turut menampilkan alunan selawat dipimpin Johan Qariah Tilawah Al-Quran Antarabangsa, Nor Farhatul Fairuzah Panut.
Program turut diserikan dengan tazkirah bertajuk ‘Meneladani Akhlak Rasulullah SAW: Inspirasi Buat Wanita Beriman’ oleh Ustazah Nazirah Abu Bakar.
Bertemakan ‘Bersama Menghayati Kecintaan kepada Rasulullah SAW’, program itu memberi peluang kepada wanita Selangor menghayati nilai kasih sayang, perpaduan dan akhlak mulia yang dibawa Rasulullah SAW sekali gus menyemarakkan penghayatan Maulidur Rasul dalam kalangan masyarakat.











