Kerajaan Negeri usaha cari tapak baharu perluas Pusat Pendidikan Al-Amin

22 Ogos 2026, 2:28 PM
Kerajaan Negeri usaha cari tapak baharu perluas Pusat Pendidikan Al-Amin
Kerajaan Negeri usaha cari tapak baharu perluas Pusat Pendidikan Al-Amin
Kerajaan Negeri usaha cari tapak baharu perluas Pusat Pendidikan Al-Amin
Kerajaan Negeri usaha cari tapak baharu perluas Pusat Pendidikan Al-Amin

GOMBAK, 22 OGOS: Kerajaan Negeri akan berusaha mendapatkan tanah bagi membolehkan Pusat Pendidikan Al-Amin Berhad mengembangkan institusi pendidikan berkenaan selepas 40 tahun beroperasi.

Dato' Menteri Besar, Dato' Seri Amirudin Shari berkata usaha mendapatkan tapak baharu itu akan dilakukan tahun ini bagi memberi ruang kepada Al-Amin memperluas perkhidmatan pendidikannya.

"Insya-Allah, kalau untuk sekolah Tiong Hua saya boleh carikan, untuk sekolah Tamil saya carikan. Untuk sekolah Islam, insya-Allah saya akan usahakan sebaik mungkin.

“Untuk sekolah menengah ataupun kumpulan Al-Amin mempunyai satu sekolah di bandar utama kita, sama ada di Subang, di Petaling ataupun insya-Allah di Shah Alam paling tidak," katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Karnival Pusat Pendidikan Al-Amin Berhad ke-40 di SRI Gombak, di sini, hari ini.

Beliau berkata sekolah sedia ada di SRI Gombak akan terus diberi perhatian kerana mempunyai nilai sejarah selain sudah sebati dengan masyarakat dan penduduk setempat.

Katanya, usaha memperluas kemudahan pendidikan itu turut mengambil kira keperluan menyediakan akses kepada pendidikan Islam yang lebih luas, termasuk menerusi pembukaan sekolah baharu.

Menurutnya, Pusat Pendidikan Al-Amin di Gombak mempunyai sejarah tersendiri sepanjang 40 tahun penubuhannya termasuk melahirkan pemimpin antaranya EXCO Pembangunan Wanita & Kebajikan Masyarakat Anfaal Saari.

"Insya-Allah dengan usia 40 tahun, saya yakin 40 tahun lagi Al-Amin akan tetap relevan kepada dunia pendidikan dan masyarakat," katanya.

Pusat Pendidikan Al-Amin Berhad merupakan institusi pendidikan yang telah berkembang selama empat dekad dalam menyediakan pendidikan berteraskan nilai Islam kepada generasi muda.

Perasmian Karnival Pusat Pendidikan Al-Amin Berhad ke-40 di SRI Gombak hari ini turut menjadi platform meraikan empat dekad penubuhan institusi berkenaan bersama warga pendidikan, pelajar dan masyarakat setempat.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.