EXCO: Pusat Adaptasi Perubahan Iklim Selangor selaras tiga projek antarabangsa hampir RM20 juta

10 Ogos 2026, 5:00 AM
EXCO: Pusat Adaptasi Perubahan Iklim Selangor selaras tiga projek antarabangsa hampir RM20 juta
EXCO: Pusat Adaptasi Perubahan Iklim Selangor selaras tiga projek antarabangsa hampir RM20 juta

SHAH ALAM, 10 OGOS: Pusat Adaptasi Perubahan Iklim Selangor (SCAC) mencatat beberapa pencapaian sejak ditubuhkan tahun lalu, termasuk menyelaras tiga projek yang menerima pembiayaan dan bantuan teknikal antarabangsa bernilai hampir RM20 juta.

EXCO Alam Sekitar Jamaliah Jamaluddin berkata projek itu termasuk ‘Decarbonization and Sustainable Cities For Net-Zero Future In Malaysia’ yang dibiayai Global Environment Facility (GEF) Kitaran 8 bernilai RM17.6 juta.

Menurutnya, projek ‘Building Climate-Resilient Communities Through Integrated Water-Energy-Food-Environment Nexus Model’ pula dibiayai United Kingdom menerusi geran berjumlah RM1.05 juta.

Satu lagi projek, ‘Selangor River Basin as a Nature-based Solutions at the Forestry-Agriculture-Climate Nexus’ menerima bantuan teknikal bernilai RM1 juta daripada Kesatuan Eropah menerusi program Technical Assistance Facility - Green Team European Initiative.

“Sepanjang setahun ditubuhkan, SCAC turut bertanggungjawab menyelaras hubungan strategik antara Kerajaan Negeri dan Kedutaan Belanda di Malaysia ke arah pemeteraian memorandum kerjasama bagi memperkukuh bidang pengurusan air dan perubahan iklim,” katanya pada persidangan Dewan Negeri Selangor (DNS) di sini, hari ini.

EXCO Alam Sekitar Jamaliah Jamaluddin menjawab soalan di Persidangan Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor di Shah Alam pada 10 Ogos 2026. Foto HARUN TAJUDIN/MEDIA SELANGOR

Menjawab soalan wakil rakyat Seri Kembangan Wong Siew Ki, Jamaliah berkata SCAC turut menyelaras dan memantau Kajian Inventori Gas Rumah Kaca (GHG) Selangor yang dijangka siap sebelum hujung tahun ini.

“SCAC turut jalankan Kajian Kerentanan, Risiko Dan Adaptasi Iklim yang dijangka bermula sebelum Oktober depan bagi menilai tahap kerentanan dan profil risiko di setiap pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Selain itu pelaksanaan program SELKitar dengan KDEB Waste Management bagi kutipan bahan kitar semula dari rumah ke rumah serta Program Sekolah Rakan Bumi untuk sekolah menengah yang selesai minggu lalu,” katanya.

SCAC dilancarkan pada Mei tahun lalu dan menjadi pusat pertama di Malaysia yang memberi tumpuan kepada tadbir urus perubahan iklim, selain berperanan sebagai pusat penyelidikan dan penyelarasan dasar iklim berasaskan data dan sains.

Selangor turut memperkenalkan Majlis Tindakan Perubahan Iklim Negeri Selangor (IklimSelangor) yang dipengerusikan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.

Majlis berkenaan akan bermesyuarat setiap enam bulan bagi menilai kemajuan dan menyelaras tindakan antara jabatan.

Kategoriexco

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.