GOMBAK, 22 OGOS: Penambahbaikan makmal komputer dan pusat sumber di sekolah mampu memperkukuh kemahiran teknologi murid, sekali gus menjadi persediaan untuk melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi.
Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari berkata, usaha menaik taraf kedua-dua kemudahan itu turut membantu meningkatkan semangat murid untuk mempelajari bidang yang menjadi keperluan pada masa hadapan.
"Naik taraf dua tempat iaitu makmal komputer dan pusat sumber saya kira akan membantu untuk menaikkan semangat, kemudahan dan keadaan di kawasan ini.
"Sebahagian yang dibawa ini adalah alatan-alatan kecil... ada 3D printer (pencetak), kita ada laser printer dan juga kita berikan komputer yang baharu. Ada pusat sumber kawasan yang lebih luas dan juga kemudahan-kemudahan tertentu," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan makmal komputer baharu dan pengubahsuaian pusat sumber Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Kertas di sini, hari ini.
Menurut Amirudin, kemudahan yang disediakan itu selaras dengan keperluan pelbagai bidang pengajian di institusi pengajian tinggi, termasuk seni halus, kejuruteraan, seni bina dan reka bentuk.
"Kebetulan di universiti-universiti kita ada kemahiran-kemahiran tertentu. Contohnya untuk seni halus atau pun seni lukis di Universiti Teknologi Mara yang dibanggakan dengan wall (dinding), di paparan untuk mural yang telah disiapkan.
"Kita juga ada kemahiran-kemahiran lain dalam bidang engineering (kejuruteraan), dalam bidang architecture (seni bina), bidang design (reka bentuk) dan sebagainya yang diterjemahkan di sini secara keseluruhan.
"Apa yang penting adalah spirit (semangat) diilhamkan Perdana Menteri supaya kita betul-betul berada di lapangan yang mana beliau tidak mahu buat bangunan pencakar lagi, monumen yang besar tetapi asasnya sekolah, gerai, rumah rakyat dijaga dan dipelihara," katanya.










