SHAH ALAM, 22 OGOS: Kerajaan Negeri menerusi Rancangan Selangor Kedua (RS-2) merangka pendekatan lebih menyeluruh bagi memastikan warga emas terus menjalani kehidupan sihat, aktif dan bermaruah.
EXCO Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Anfaal Saari berkata RS-2 menekankan sokongan mengikut setiap peringkat kehidupan rakyat dengan keperluan warga emas tidak hanya dilihat dari sudut bantuan tunai atau kewangan.
Sebaliknya, pendekatan itu merangkumi aspek penjagaan, kesihatan, kesejahteraan psikososial dan sokongan komuniti berdasarkan keperluan sebenar golongan berkenaan.
“Antara inisiatif yang disenaraikan ialah ‘Selangor Mesra Warga Emas’ yang mengukuhkan rangkaian perlindungan sosial menerusi Skim Khairat Kematian (KDE), Skim Mesra Selangor dan Iltizam Emas Selangor,” katanya kepada Media Selangor.
Menurut Anfaal, RS-2 turut memberi tumpuan kepada Program Saringan Kesihatan Rakyat Selangor dan Saringan Kesihatan Warga Emas bagi mengesan lebih awal penyakit tidak berjangkit serta risiko kesihatan berkaitan penuaan.
Beliau berkata Iltizam Emas Selangor pula merupakan antara inisiatif di bawah agenda Ekonomi Penjagaan Selangor yang memberi sokongan lebih menyeluruh kepada warga emas, penjaga dan keluarga.
“Sebelum ini, kebajikan sering dikaitkan dengan bantuan bersasar. Di bawah RS-2, kita ingin beralih ke arah ekosistem yang lebih holistik yang memenuhi keperluan warga emas dalam aspek penjagaan, kesihatan, kesejahteraan psikososial dan sokongan komuniti,” katanya.
Anfaal berkata antara inisiatif lain ialah Rakan Penjaga Selangor (Selangor Care Navigator) yang membolehkan Kerajaan Negeri mendekati individu yang memerlukan penjagaan, mengenal pasti keperluan mereka serta memadankan bantuan dan perkhidmatan bersesuaian.
RS-2 turut menyediakan Bantuan Peralatan Penjagaan bagi membantu penjaga dan penerima penjagaan mendapatkan peralatan diperlukan, terutama untuk meningkatkan kualiti hidup warga emas.
Selain itu, Pusat Kesejahteraan Penjagaan Sementara (Respite Care Wellness Hub) akan memperluas fungsi Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) dengan menyediakan ruang rehat kepada penjaga serta aktiviti untuk warga emas.
Pusat berkenaan turut menawarkan perkhidmatan seperti saringan kesihatan, sokongan psikososial dan aktiviti promosi kesihatan.
Sementara itu, Skim Penjagaan Selangor memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan bilangan penjaga terlatih bagi memenuhi permintaan terhadap perkhidmatan penjagaan yang semakin meningkat, khususnya membabitkan warga emas.
Anfaal berkata agenda warga emas dalam RS-2 turut diperkukuh menerusi pembangunan Dasar Ekonomi Penjagaan Selangor bagi memenuhi keperluan individu yang berubah apabila memasuki usia emas.









