SHAH ALAM, 17 MAC: Seramai 30 asnaf dalam komuniti strata menerima bantuan wang tunai dan barangan keperluan asas menerusi Program Sentuhan Kasih Ramadan Komuniti Strata 2026.
Program yang berlangsung di Dewan MPKS Ixora Hill Park, Puncak Alam pada 15 Mac lalu itu dianjurkan Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) melalui Unit Pesuruhjaya Bangunan (COB).
Turut menjayakan inisiatif kebajikan tersebut, beberapa syarikat tampil melaksanakan tanggungjawab sosial korporat (CSR) termasuk Jalen, Jasmine dan Fuji Bakery.
Menurut MPKS, program berkenaan diadakan bagi menyemarakkan Ramadan selain mengeratkan hubungan antara pihak berkuasa tempatan dan komuniti strata di daerah Kuala Selangor.
Majlis itu turut dihadiri Pesuruhjaya Bangunan MPKS, Mohamad Hanafe Basri; Setiausaha MPKS, Mohamad Yusli Askandar; serta Ketua Unit Pesuruhjaya Bangunan MPKS, Muhammad Zul Fiqah Omar.
Dalam masa sama, program diisi dengan bacaan al-Quran, ceramah Ramadan serta majlis berbuka puasa bersama komuniti setempat dalam suasana penuh ukhuwah.
Ceramah yang disampaikan oleh Harryanto Rizal Rokman turut menyentuh penghayatan Ramadan dan kepentingan amalan kebajikan dalam kehidupan bermasyarakat.









