SHAH ALAM, 21 JUN: Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor (Pekawanis) menyeru masyarakat supaya melihat tanggungjawab menjaga ibu bapa yang uzur sebagai amanah dan peluang berbakti, bukannya beban.
Penekanan itu selari dengan tema sambutan Hari Ibu Pekawanis Peringkat Negeri Selangor 2026, Simfoni Kasih Ibu Jalan Menuju Syurga, yang mengangkat kepentingan menghargai dan menjaga golongan ibu.
Yang Dipertuanya, Datin Seri Masdiana Muhamad berkata tema berkenaan dipilih bagi meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap keperluan menjaga ibu, khususnya yang sakit atau terlantar.
“Tahun ini kita memberi tumpuan khusus kepada penjagaan ibu-ibu yang sakit terlantar.
"Pekawanis menjemput (penyertaan) setiap DUN dan hari ini kami menerima kehadiran peserta dari seluruh negeri Selangor," katanya kepada Media Selangor.

Masdiana berkata berbakti kepada ibu bapa bukan sekadar tanggungjawab anak-anak, malah merupakan amanah yang perlu dilaksanakan serta ladang pahala yang tidak seharusnya dipandang ringan.
Beliau turut menjadikan kisah Uwais al-Qarni sebagai teladan dalam menunjukkan kasih sayang dan pengorbanan terhadap ibu.
Tambahnya, tanggungjawab menjaga warga emas tidak boleh dipikul oleh individu atau ahli keluarga semata-mata, sebaliknya memerlukan sokongan masyarakat secara menyeluruh.
Mengulas mengenai inisiatif program MamaKerja, Masdiana berkata Pekawanis menyokong usaha yang memberi manfaat kepada golongan wanita bekerja.

Katanya, bantuan dan sokongan yang disediakan menerusi inisiatif itu mampu meringankan beban wanita dalam mengimbangi tuntutan kerjaya dan keluarga.
“Melalui inisiatif seperti ini, golongan wanita akan merasakan mereka sentiasa diberi perhatian dan sokongan,” katanya.









