‘Saya rasa tidak berseorangan’, sambutan Hari Ibu Pekawanis suntik semangat peserta

21 Jun 2026, 12:02 PM
‘Saya rasa tidak berseorangan’, sambutan Hari Ibu Pekawanis suntik semangat peserta
‘Saya rasa tidak berseorangan’, sambutan Hari Ibu Pekawanis suntik semangat peserta
‘Saya rasa tidak berseorangan’, sambutan Hari Ibu Pekawanis suntik semangat peserta

SHAH ALAM, 21 JUN: Menjaga kedua ibu bapanya yang uzur sambil membesarkan enam cahaya mata tidak pernah dianggap sebagai beban oleh Aida Jelani, sebaliknya peluang untuk membalas kasih dan pengorbanan insan yang membesarkannya.

Justeru, sambutan Hari Ibu Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor (Pekawanis) 2026 memberi makna tersendiri apabila beliau berpeluang bertemu wanita lain yang turut melalui pengalaman dan cabaran sama.

Suri rumah berusia 53 tahun dari Klang itu berkata program berkenaan membuatkannya berasa lebih dihargai dan tidak berseorangan dalam menggalas tanggungjawab sebagai ibu dan penjaga keluarga.

“Saya rasa dihargai kerana pengorbanan seorang ibu dan penjaga kadang-kadang tidak diketahui orang lain.

“Program seperti ini membuatkan saya rasa tidak berseorangan,” katanya kepada Media Selangor.

Aida Jelani, 53, berkongsi pengalaman menjaga kedua ibu bapanya yang uzur sambil membesarkan enam anak ketika ditemui pada sambutan Hari Ibu Pekawanis 2026. Foto HARUN TAJUDIN/MEDIA SELANGOR

Aida berkata beliau telah menjaga kedua ibu bapanya sejak lima tahun lalu dan sentiasa berusaha memberikan perhatian serta kasih sayang terbaik kepada mereka.

Menurutnya, ibu bapa yang kurang sihat perlu dibelai dan diberi perhatian agar mereka terus merasai kasih sayang keluarga.

“Bila saya lihat ada orang yang menghadapi cabaran lebih besar, ia memberi semangat kepada saya untuk terus kuat,” tambahnya.

Sementara itu, penolong jurutera Nurfathiah Karim, 36, berkata program tersebut memberi pengiktirafan kepada golongan ibu yang sering berdepan pelbagai tanggungjawab dalam kehidupan seharian.

Katanya, wanita bekerjaya perlu mengimbangi tuntutan kerjaya, membesarkan anak-anak dan pada masa sama mengurus rumah tangga.

Penolong jurutera, Nurfathiah Karim, 36, berkongsi pandangan mengenai kepentingan menghargai pengorbanan golongan ibu sempena sambutan Hari Ibu Pekawanis 2026. Foto HARUN TAJUDIN/MEDIA SELANGOR

“Program seperti ini sangat bermakna kerana menunjukkan ibu-ibu dihargai.

“Saya harap lebih banyak program seperti ini diteruskan pada masa hadapan,” katanya.

Menurutnya, usaha yang digerakkan Pekawanis dapat membantu masyarakat lebih menghargai jasa dan pengorbanan golongan ibu.

Terdahulu, Yang Dipertua Pekawanis Datin Seri Masdiana Muhamad merasmikan sambutan Hari Ibu Pekawanis 2026 yang bertemakan Simfoni Kasih Ibu Jalan Menuju Syurga di kediaman rasmi Dato' Menteri Besar di Shah Alam.

Menurut beliau, tema berkenaan dipilih bagi meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan menghargai dan menjaga golongan ibu, khususnya yang sakit atau terlantar.

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.